Friday, October 2, 2009

Enam negara bincang pasal nuklear Iran

GENEVA - Enam kuasa utama dunia semalam memulakan perbincangan dengan Iran untuk memaksa Teheran membuktikan program nuklearnya diwujudkan untuk tujuan awam.

Perunding nuklear Iran bertemu dengan beberapa pegawai dari Amerika Syarikat (AS), Rusia, China, Britain, Perancis dan Jerman di sebuah vila di Tasik Geneva seminggu selepas Teheran mendedahkan kemudahan pengayaan uraniumnya yang baru.

Iran turut melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauh yang didakwa berupaya mengenai Israel baru-baru ini.

Di sebalik kebimbangan terhadap usaha Iran yang mahu membina bom nuklear, Barat turut menggesa negara itu untuk membenarkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memeriksa kemudahan kedua itu yang terletak di bandar Qom.

Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton turut memberi amaran kepada Iran bahawa Teheran kini berhadapan pemulauan dan tekanan antarabangsa yang lebih buruk jika pemeriksa IAEA tidak dibenarkan melawat kemudahan tersebut.

Menteri Pertahanan Perancis, Herve Morin berkata, negaranya akan terus mendesak supaya sekatan baru dikenakan terhadap Iran jika ia gagal untuk menjelaskan kesangsian berhubung program nuklear menjelang Disember ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: