Saturday, October 24, 2009

Derita empat tahun berakhir


Mangsa dera menunjukkan kesan luka akibat digigit dan dipukul di Wad Kanak-Kanak, HTAA di Kuantan semalam.


KUANTAN - Penderitaan dua beradik yang mendakwa sering didera oleh ibu tiri mereka sejak empat tahun lalu berakhir apabila wanita berusia 40 tahun itu ditahan bersama suaminya di sebuah rumah di Jalan Gambang di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supritendan Nordin Mustapha berkata, kejadian itu terbongkar pada pukul 2 petang apabila salah seorang mangsa meminta bantuan jiran selepas dia tidak tahan menjadi mangsa dera.

"Kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing berusia 11 dan sembilan tahun itu dipercayai sering didera oleh suri rumah tersebut tetapi mereka hanya mendiamkan diri.

"Bagaimanapun, semalam (kelmarin) selepas dipukul oleh ibu tiri mereka, kanak-kanak lelaki terbabit telah pergi ke rumah jiran dan meminta bantuan," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Menurut Nordin, jiran itu kemudian membawa dua beradik itu ke balai polis membuat laporan.

"Terdapat banyak kesan gigitan dan lebam di seluruh badan dua pelajar itu yang menuntut di sebuah sekolah kebangsaan di Kuantan," kata beliau.

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya dua beradik itu sering dipukul menggunakan kayu, batang penyapu, penyangkut baju sejak tinggal bersama ibu tiri mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: