Friday, October 16, 2009

Dengarnya... DJ wajar elak guna bahasa rojak


BARU-baru ini, kawan sepejabat Cik Normah dihubungi seorang peminat stesen radio di negara kita. Cik Normah lupa dari mana pemanggil ini membuat panggilan. Cik Normah rasa mungkin pemanggil ini antara yang cukup menghargai nilai bahasa di negara kita.

Tapi pesannya pada awal bicara, dia mengomel tiada langsung kaitan dengan pejuang bahasa ataupun dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebenarnya pemanggil ini cuba memberi komen satu perkara yang Cik Normah rasa ada kewajarannya apabila difikirkan kembali.

Nak dijadikan cerita, pemanggil ini ada mendengar stesen radio Hot FM yang dikendalikan salah seorang penyampai radionya. Daripada pembayang yang diberikan pemanggil itu, penyampai yang dimaksudkan ialah Kartini atau Tini. Tini dikatakan mencampuradukkan bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia.


Perkataan yang digunakan Tini ialah ‘merealesekan’ album bukannya memasarkan album. Biarpun apa yang disebut Tini itu nampak bukan satu kesalahan berat hingga patut diberi hukuman mandatori sampai mati, niat pemanggil itu sebenarnya tidak mahu bahasa itu terus dipandang mudah.

Kata pemanggil itu, Media Prima patut mengambil langkah memantau dan memastikan bahasa itu terus terjaga keasliannya. Katanya, jika pembaca TV atau personaliti syarikatnya boleh memastikan bahasa itu tidak dicampur aduk sesuka hati, takkan penyampai radio tak boleh buat perkara yang sama. Katanya lagi, jangan cakap hentam keromo saja.

Menurut pemanggil itu, perkara sedemikianlah yang ada kalanya membuatkan dia memilih untuk mendengar stesen radio tertentu saja seperti Best 104 di Johor. Katanya, penyampai radio di stesen itu masih lagi berceloteh tetapi yang tidak menyakitkan hati dan telinga. Malah tidak keterlaluan seperti sesetengah penyampai radio swasta yang popular.

Cik Normah hanya mampu berkongsi perasaan pemanggil itu saja. Dalam kita larut dengan arus pemodenan ini ada kalanya personaliti lupa setiap gerak geri dan tutur bahasanya diperhatikan. Lainlah Cik Normah memang laser mulut tapi hati baik.

Mungkin Tini tidak berniat apa-apa langsung dengan menyebut perkataan itu. Barangkali aliran bahasa seharian bercakap rojak membuatkan Tini terlupa hingga menyebutnya ketika ke udara di radio. Bukan mudah memuaskan hati manusia kerana kita harus sedar diri ini tidak pernah sempurna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: