Saturday, October 24, 2009

Dendam pembunuh Hitler




Lakonannya dalam karya The Curious Case of Benjamin Button (2008) sekali lagi membuktikan Brad Pitt bukan pelakon kacak yang hanya bergantung kepada wajah atau cerita peribadi yang panas untuk mendapatkan watak utama.

Menyentuh perasaan penonton dengan menjayakan peranan sebagai lelaki yang dilahirkan dalam usia 80-an semasa Perang Dunia Pertama, transisi dirinya menjadi semakin muda sehingga meninggal sebagai bayi digambarkan dengan sempurna oleh Brad.

Sebenarnya sejak awal pembabitan Brad dalam dunia lakonan lagi, dia yang dilahirkan pada tahun 1963 di Shawnee, Oklahoma, Amerika Syarikat (AS) lebih suka memegang watak hodoh, gila, selekeh, berisiko atau terlibat dalam filem berprofil rendah.

Sering menghindari watak dalam filem yang akan mencecah kutipan box-office, Brad yang tidak menghabiskan pengajian di University of Missouri dalam kursus Kewartawanan mula berlakon ketika diberi peluang sebagai pelakon tambahan dalam drama TV popular, Dallas (1987).

Berkali-kali dilabelkan sebagai lelaki paling seksi, lakonan Brad sebagai pesakit mental/aktivis haiwan dalam filem futuristik, 12 Monkeys (1995) serta filem-filem seperti Legends of the Falls (1994), Interview with the Vampire (1994), dan Meet Joe Black (1998) membuka mata dunia terhadap bakatnya dan bukan penampilannya.

Selepas bertahun-tahun memainkan watak yang memburukkan wajah kacaknya dengan rambut atau janggut panjang, akhirnya Brad menerima peranan hero kacak sebagai Achilles untuk filem epik arahan Wolfgang Petersen, Troy (2004).

Transformasi kematangan Brad dapat dilihat jelas dalam naskhah Babel (2006), sebuah cerita yang mengganggu minda penonton. Namun, dalam proses menjadi salah seorang aktor dalam senarai kelas A Hollywood, Brad terdahulu mengisi ruangan dada tabloid dengan cerita cintanya.

Perkahwinan berprofil tinggi dengan Jennifer Aniston (2000-2005) dikatakan menjadi kisah dongeng paling sempurna di Hollywood. Malangnya, cerita dogeng pasangan emas itu tidak berakhir dengan kegembiraan.

Berpisah dengan Jennifer dan mula bercinta dengan Angelina Jolie, ramai yang melihat perhubungan itu akan memberikan impak negatif. Brad berpisah seketika dengan dunia lakonan kerana mahu melarikan diri daripada tumpuan media.

Tapi ternyata hubungan Brad dengan Angelina bukannya sesuatu yang buruk. Imej baru Brad sebagai ayah, dan aktivis dermawan mengejutkan dunia.

Bersama Angelina, mereka mempunyai enam orang anak. Maddox, 7 (Kemboja), Pax, 5 (Vietnam), Zahara, 4 (Afrika) dan tiga anak kandung, Shiloh, 3, kembar, Vivien dan Knox, 1.


BRAD kini bahagia di samping Angelina dan enam anak mereka.


Lebih selektif, Brad telah menerima tawaran pengarah terkenal, Quentin Tarantino untuk menjayakan watak leftenan Aldo Raine (protagonis) yang berlatarbelakang Perang Dunia Kedua, Inglourious Basterds.

Menurut Quentin, watak itu telah ditulis berdasarkan imaginasi Brad dan dia adalah calon pertama serta terakhir yang berhak menjayakan peranan tersebut.

Merupakan kerjasama pertama antara Brad dan Quentin, Brad bagaimanapun pernah berlakon dalam filem tulisan pengarah itu, True Romance (1993).

Menerima kritikan positif daripada pengamal filem selepas ditayangkan pada Festival Filem Cannes yang berlangsung 20 Mei lalu, karya itu juga diterima baik apabila ia ditayangkan di United Kingdam, Australia, Jerman, New Zealand, AS dan Kanada.

Menceritakan zaman penjajahan Jerman di Perancis semasa Perang Dunia Kedua, Shosanna Dreyfus telah menyaksikan keluarganya yang dibunuh oleh askar Nazi, Hans Landa. Shosanna kemudian berjaya melarikan diri ke Paris di mana dia mendapatkan identiti diri baru sebagai pemilik dan operator pawagam.

Bagi mendalami filem lakonan Brad bersama Christoph Waltz, Michael Fassbender, Eli Roth, Diane Kruger dan Til Schweiger serta kehidupan Brad sebagai ayah, ikuti petikan temu bual di bawah.

Mengapa anda menerima tawaran untuk filem itu?

BRAD: Filem itu adalah satu anugerah. Ia datang sendiri dan enam minggu kemudian, kami telah memulakan penggambaran. Saya tidak mahu mengubah apa-apa yang telah ditetapkan pengarah.

Karyanya dibikin dengan sempurna. Saya menerima banyak kredit untuk sebuah filem yang sepatutnya. Skrip filem itu adalah yang terbaik yang pernah saya baca setakat ini.

Pertemuan pertama? Saya difahamkan ejen anda yang merupakan kawan baik Quentin tidak mahu anda menerima watak itu?

Kami pernah bertembung sebelum ini tapi selepas berbual dengan Quentin, saya tahu saya ingin bekerjasama dengannya. Ketika itu, Quentin datang bertemu dengan saya di kediaman saya, Chateau Miraval, Perancis.

Kami berbincang mengenai watak Aldo Raine dan saya terus menerimanya pada malam itu. Siapa tidak mahu mendapatkan watak dalam filem arahan Quentin? Rasanya semua aktor ialah peminat Quentin. Hasil kerjanya penuh dengan kejutan menakjubkan dan menggoda.

Bagaimanakah pengalaman bekerja dengan Quentin?

Quentin seorang yang sensitif. Namun, dia bijak memberikan keyakinan kepada pelakon dan hasilnya semua orang akan berpuas hati. Penggambaran itu satu proses menyeronokkan.

Seperti yang anda ketahui, Quentin memiliki pengetahuan luas mengenai perfileman. Bagi saya set penggambaran dia boleh digambarkan sebagai gereja. Quentin ialah Tuhan dan skripnya adalah kitab injil.


LEBIH menyukai watak mencabar, hodoh dan selekeh berbanding menjadi hero.


Bagaimanakah anda menilai filem itu jika anda merupakan pengkritik filem?

Sangat menyeronokkan. Saya gembira dengan hasilnya kerana semua pelakon yang terlibat amat hebat terutama peluang berganding dengan pelakon dari Jerman.

Anda memainkan watak sebagai askar AS yang membunuh Adolf Hitler. Ceritakan sedikit mengenai watak itu.

Watak itu mempunyai nama timangan Aldo the Apache. Dia merupakan pegawai dari pasukan khas Tennesse yang ingin membalas dendam. Aldo telah mengumpul sekumpulan lapan askar dan menimbulkan keadaan panik di Perancis serta membunuh askar Jerman.

Anda kini berusia 46 tahun, adakah anda takut dengan penuaan?

Bulu kelabu pada misai saya amat buruk. Tapi penuaan itu pada saya satu benda yang baik dan natural.

Ceritakan sedikit bagaimana anda menghabiskan masa sebagai ayah setiap hari?

Saya akan bangun awal untuk menyediakan sarapan, membantu anak-anak saya bersedia dan menghantar mereka ke sekolah. Kalau Angelina bekerja, saya akan mengambil alih tugas sebagai ibu.

Angelina pernah memberitahu anda mempunyai katil besar yang mampu menampung kesemua lapan ahli keluarga anda?

Katil itu mempunyai kelebaran tiga meter. Tapi sebenarnya itu masih belum mencukupi. Mereka semua datang merangkak ke katil kami setiap pagi. Saya dan Angelina sentiasa perlu mencari masa untuk berehat. Malah, saya selalu tidur di set penggambaran Inglourious Basterds. Rasanya Quentin tidak berapa menyukainya (ketawa).

Anda tidak suka kereta mewah tetapi meminati motosikal kuasa tinggi. Berapa banyak motosikal yang anda miliki?

Oh, itu satu soalan yang saya tidak boleh jawab. Rahsia (ketawa). Tapi sebenarnya saya tidak tahu berapa banyak motosikal yang saya ada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: