![]() |
Tarikan dua 'J'
ESOK kaum India beragama Hindu di negara kita akan menyambut Deepavali. Untuk itu, Hip tidak ketinggalan mengundang dua artis jelita mewakili kaum itu bagi menyemarakkan lagi perayaan Pesta Cahaya ini. Jaclyn Victor (Jac), 31, masih sudi meluangkan masa biarpun baru saja kembali dari Australia mewakili filem Talentime yang menyertai Festival Filem Malaysia dan Australia di Melbourne.
Begitu juga dengan heroin filem Estet arahan Mamat Khalid, Jasmine Michael, 29, yang sibuk di lokasi penggambaran telefilem Love arahan John Ally yang akan bersiaran di 8TV pada 2010. Cukup sukar sebenarnya memikirkan gandingan untuk sesi fotografi perayaan ini apatah lagi berapa kerat saja pelakon India di negara kita yang ada.
Akhirnya ia masih mampu dilunaskan pada Isnin lalu. Tidak sukar menggandingkan mereka yang buat pertama kali ‘beraksi’ di dalam sesi fotografi. Masing-masing hadir dengan sari koleksi peribadi berwarna merah memberi lambang cahaya cinta yang membara di hati mereka yang masing-masing sudah berpunya.
Berbangsa India, mereka sebenarnya menganut agama Kristian. Bagaimanapun itu tidak menghalang, Jac dan Jasmine untuk meraikan perayaan terbabit. Seiring dengan gagasan 1Malaysia, mereka sebenarnya cukup bertuah berada di bumi tercinta ini tanpa ada prejudis sesama bangsa mahupun agama.
Fotografi ini sebenarnya lebih bersifat kontemporari. Jac hadir dengan sari potongan moden, manakala Jasmine pula memilih memakai sari gaya klasik. Bukan saja mempunyai pangkal huruf yang sama dan hati sudah dimiliki, mereka juga bijak memberi pos yang diingini persis pelakon Bollywood seperti Priyanka Chopra dan Aishwarya Rai.
![]() |
| BERGELAR tunangan orang, Jaclyn dan Jasmine mengharapkan hubungan itu akan ke gerbang perkahwinan dan kekal selamanya. |
Bersama Hip kita mendasari hati dua figura ini mengenai Pesta Cahaya dan sedikit sisi peribadi. Bagi Jac yang baru muncul dengan album ketiga berjudul Jaclyn Victor III (selepas album Gemilang dan Inilah Cinta), Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia ke-22 menyifatkan Deepavali seperti perayaan lain yang disambut di negara kita.
“Paling penting apabila kita dapat berkumpul sesama kawan dan ahli keluarga. Kawan baik saya dari Dubai pun akan balik raya kali ini, jadi dapatlah kami keluar melepak dengan kawan yang lain. Kalau mahu diimbas masa zaman bersekolah pun kebanyakan kawan saya bersifat majmuk.
“Kalau mahu disingkap sebenarnya sejak dulu lagi, entiti 1Malaysia ini sudah tersemai di kalangan kita. Saya sendiri pun mempunyai banyak koleksi pakaian tradisional yang saya boleh katakan begitu sesuai dengan jiwa ini. Sari saja saya sudah ada lebih 100 pasang. Baju kurung dan kebaya dengan pelbagai potongan pun saya beli,” katanya yang turut memiliki Cheongsam.
Kata Jac lagi, tiada istilah cuti di dalam hidup dan kerjayanya. Ketika belum menjuarai Malaysian Idol musim pertama dan masih bekerja sebagai penyanyi kelab malam lagi, dia masih bekerja demi menghiburkan penonton yang hadir ke premis hiburan yang diwakilinya.
![]() |
| JASMINE bertuah disunting Mamat Khalid untuk filem Estet dan pernah menyandang gelaran aktres terbaik untuk pasaran filem Tamil di Malaysia. |
“Selagi saya boleh bekerja kuat untuk mencari rezeki, saya akan rebut saja peluang yang ada di depan mata. Kerja tetap menjadi kerja dan tanggungjawab. Bukan bermaksud tamak, sebaliknya ia sebagai jaminan untuk saya meneruskan kehidupan mendatang. Kalau nak berehat pun, saya akan ambil cuti untuk ke luar negara,” katanya yang muncul dengan semakin meledak dengan lagu Bertamu Di Kalbu.
Mengalih mengenai peribadi merujuk kepada kisah tunangnya yang dikenali sebagai Mr Boots, dia yang buat pertama kali ke layar perak menerusi filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad berkata jalinan cinta jarak jauh memang cukup memeritkan. Tunangnya sebelum ini pernah bertugas di sebuah premis pusat membeli belah, bagaimanapun kegawatan ekonomi memaksanya kembali ke United Kingdom.
“Jauh atau dekat bukan persoalan dalam bercinta. Kalau kita nak terus kekal bersama, cinta jarak jauh ini harus diterima dengan hati terbuka. Hubungan kami berjalan seperti biasa dan kami selesa dengan hubungan ini tanpa ikatan perkahwinan. Tak semestinya tidak berkahwin kita tidak bahagia,” kata Jac sambil tersenyum.
Sambut sederhana kerana masih berkabung
SEMENTARA itu, Jasmine Michael memberitahu dia tidak akan meraikan Pesta Cahaya terlalu beriya-iya kerana masih lagi dalam proses berkabung memperingati pemergian mendiang nenek tunangnya yang meninggal dunia pada hujung November tahun lalu.
“Bagaimanapun, saya akan luangkan masa untuk beraya di rumah kawan dan sanak-saudara. Sekarang ini perayaan setiap kaum tidak terbatas kepada kaum tertentu saja. Sebaliknya, semua kaum di Malaysia menyambutnya dengan penuh kegembiraan. Harapnya perpaduan yang kita miliki akan terus kekal,” katanya yang hanya bercuti dua hari dan beraya di rumah keluarganya di Puchong, Selangor.
Jasmine memulakan karier seninya sejak 2002 dan bukan saja terbatas sebagai pelakon, dia turut meminati tarian klasik India dan terbabit dalam klip video. Tambah Jasmine, dia mula mengenali tunangnya, KK Khanna, 33 sebelum menjadi pelakon lagi.
“Tanggal 27 Oktober ini genaplah usia hubungan kami sembilan tahun. Kami bertunang sejak empat tahun lalu. Dia pun orang seni juga dan bergelar sebagai pengarah, penyanyi dan editor untuk industri hiburan Tamil. Dia banyak memberi sokongan dan galakan untuk saya terus tegar memilih bidang seni ini.
“Dia juga umpama penasihat dan tulang belakang kepada hidup saya. Soal kahwin itu masih belum ada dalam diari kami untuk tahun ini. Harap-harap perancangan kami ke arah itu tahun depan akan direstui semua. Saya hanya mampu menunggu dan berdoa supaya hubungan kami akan kekal selama-lamanya,” katanya yang merancang untuk bercuti selama sebulan melupakan kepenatan bekerja buat seketika tak lama lagi.
Mengenai peluang keemasan menerjah arus perdana dengan membintangi filem Estet, dia yang tidak menyangka diberi mandat itu hanya mampu memanjat kesyukuran kerana namanya kini sudah mula meniti bibir peminat selain Kenchana Dewi yang memilih bidang lakonan.
“Kalau untuk industri tempatan Melayu secara jelasnya saya masih seperti bayi yang masih perlu banyak belajar dan amati. Tetapi saya seronok dilayan bekerja dengan produksi filem ini seperti sudah lama kenal mereka. Abang Mamat Khalid pun sangat menyokong dan peramah.
“Malah beliau tidak pernah menjerit ketika di lokasi. Apa yang saya amati beliau sangat serius ketika mengarah tetapi menariknya kalau tidak berada di kerusi pengarah, beliau akan mula gemar berlawak. Saya seronok dapat berlakon filem ini. Malah filem ini juga bersifat 1Malaysia yang mewakili kaum terbesar di negara kita,” katanya sudah berlakon empat filem digital Tamil serta membintangi kira-kira 10 drama Tamil.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: