
SHAH ALAM - Seorang ahli patologi terkenal Thailand, Dr. Porntip Rojanasunan memberitahu mahkamah koroner di sini semalam bahawa terdapat 80 peratus kemungkinan homisid dan 20 peratus kemungkinan bunuh diri dalam kes kematian pembantu politik Teoh Beng Hock, 28.
Ketika memberi keterangan dalam bahasa Inggeris, wanita itu berkata, Beng Hock mengalami beberapa kecederaan sebelum jatuh dan mati selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Beliau juga berkata, terdapat kesan melelas pada paha bahagian atas Beng Hock yang mungkin disebabkan disebat.
"Saya juga dapati kecederaan tusukan pada bahagian dubur yang boleh disebabkan perbuatan memasukkan objek dalam bahagian berkenaan. Saya tidak pernah melihat kecederaan seumpama itu dalam kes jatuh dari tempat tinggi.
"Satu lagi kecederaan yang saya temui ialah keretakan tempurung kepala, yang mungkin disebabkan oleh hentakan tumpul yang tepat kepada tempurung kepala sebelum jatuh," kata Porntip, saksi ke-30 di inkues itu.
Beliau berkata, Beng Hock berkemungkinan tidak sedarkan diri ketika jatuh dari tingkat lima, berdasarkan tiadanya kecederaan reaksi pada badan, dan menambah luka-luka kelihatan seperti kecederaan sebelum jatuh, dan kecederaan dada yang teruk adalah akibat impak primari di lantai.
"Daripada gambar bedah siasat, saya dapati ada kesan lebam pada bahagian kanan leher, yang kami (pakar patologi) panggil handle bruise dan kecederaan ini selaras dengan kecederaan disebabkan cekekan," kata Porntip yang telah mengendali lebih 10,000 bedah siasat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: