

RIO DE JANEIRO - Ekspedisi seorang bekas askar Britain, Ed Stafford untuk menjadi manusia pertama berjalan menyusuri Sungai Amazon sejauh 6,400 kilometer di Amerika Selatan bertukar menjadi misi bagi meneruskan kesinambungan hidup, lapor sebuah akhbar semalam.
Sejak 565 hari memulakan ekspedisi itu, Stafford yang dibantu seorang penunjuk arah warga Peru diuji dengan pelbagai cabaran yang mengancam nyawa mereka termasuk diserang penduduk pribumi, berdepan tuduhan membunuh dan diancam kebuluran.
Keadaan menjadi lebih getir selepas tinggal lebih separuh perjalanan, askar yang berusia 33 tahun itu terpaksa bergantung kepada derma dan pemberian penduduk pribumi ekoran penajanya menarik diri akibat kemelesetan ekonomi.
Sebelum ini, pihak penaja membayarnya elaun bulanan £1,000 (RM5,500) sebulan tetapi kini dia dan penunjuk arahnya terpaksa memburu dan menangkap ikan untuk dijadikan makanan.
Hidup askar dan penunjuk arah itu pula semakin sukar apabila sistem penunjuk arah GPS yang dibawa tidak lagi berfungsi.
Keadaan tersebut yang ditambah ketiadaan insurans perubatan menyukarkan usaha menyelamat sekiranya mereka ditimpa sebarang kecelakaan.
"Kami berada 90 kilometer dari komuniti terdekat dan kami langsung tiada bekalan makanan termasuk air," kata Stafford menerusi telefon satelit.
Ekspedisi Stafford yang kini berbaki 10 bulan lagi, bertujuan untuk memupuk kesedaran berhubung perubahan cuaca di samping mengumpul dana bagi pelbagai tujuan perubatan dan pemuliharaan termasuk penyelidikan kanser.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: