Sunday, October 25, 2009

Banyaknya persatuan artis


Perhimpunan bagi mengutip petisyen membantah kebanjiran lagu dan artis asing di stesen radio dan persembahan tempatan antara agenda Karyawan.


ATAS nama perjuangan, banyak persatuan artis yang wujud dalam industri seni dan hiburan negara ini. Bukan sekadar persatuan membela nasib artis atau para karyawan yang di depan kamera, di belakang kamera juga tidak dilupakan.

Malah Mahkota (Majlis Perundingan Industri Hiburan dan Kesenian Tanah Air) ditubuhkan untuk menjadi payung kepada persatuan-persatuan hiburan yang ada di negara ini.

Kita ada banyak persatuan. Antaranya yang popular seperti Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanahair (Papita).

Pada Wanda, banyak persatuan tidak mengapa. Tetapi janganlah hendaknya ia bertindih peranan dan tanggungjawab, juga daripada segi keahlian.

Kita perlu ada persatuan yang mewakili setiap bidang. Bukannya persatuan yang ditubuhkan bila kita rasa tidak senang dengan persatuan yang sedia ada. Lepas itu pula boleh jadi presiden.

Kalau begitulah, alamatnya bersepah-sepahlah persatuan artis di negara kita. Tapi bila nak bela nasib artis, tolak sana tolak sini.

Yang penting sekarang adalah menubuhkan persatuan yang relevan dan boleh mewakili setiap disiplin seni karyawan baik di depan kamera mahupun di belakang kamera.

Bila ada persatuan yang mewakli setiap bidang maka jika mempunyai agenda, mereka tahu apa yang diingini dan keperluan dan seandainya mempunyai masalah, lebih senang menyelesaikannya.

Apabila kita berpersatuan, kita juga mahu orang yang komited. Kita mahu orang yang boleh buat kerja dan tahu buat kerja.

Itu penting bagi kelancaran persatuan yang dipimpin. Bila komited, orang juga hormatkan kita.

Wanda lihat antara persatuan artis yang aktif dan komited dalam membela nasib artis adalah Karyawan yang dipimpin oleh Freddie Fernandez.

Antaranya yang paling besar adalah menyediakan wang pencen berjumlah RM500 kepada kira-kira 20 artis veteran.

Walaupun jumlahnya tidak banyak, sekurang-kurangnya ia dapat juga menampung belanja harian mereka.

Malah Karyawan juga antara persatuan yang cepat bertindak seandainya ada kalangan artis yang jatuh sakit dan mengalami kesusahan.

Seniman juga kini sedang berusaha merealisasikan skim potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan artis.

Baguslah. Hendaknya biarlah usaha itu berjaya dan para karyawan kita mendapat faedah di masa hadapan.

Sebenarnya perkara-perkara beginilah yang sepatutnya menjadi agenda persatuan.

Bukannya perkara remeh temeh. Atau ada yang lebih buruk, senyap dan terus menyepikan diri.

Dan jika persatuan hendak berjaya, kita juga perlu satu kepimpinan yang teguh. Ikhlas bekerja dan tidak mementingkan diri dan bukan sekadar jadi presiden.

Masalahnya, krisis kepimpinan juga selalunya menjadi salah satu masalah dalam persatuan artis negara kita. Matlamat ada tapi kalau kepimpinan tak jitu, matlamat dan impian persatuan tak ke mana juga!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: