![]() |
| |
GENEVA - Amerika Syarikat (AS) meminta Switzerland menyerahkan pengarah filem terkemuka, Roman Polanski (gambar) kepada pihak berkuasa di California, kata pihak berkuasa Switzerland semalam.
Polanski, yang memenangi anugerah Oscar pada 2003 kerana mengarahkan filem The Pianist kemungkinan dipenjarakan selama dua tahun di California kerana melakukan hubungan seks dengan gadis berumur 13 tahun pada 1977 di AS.
Kementerian Keadilan Switzerland dalam satu kenyataan memberitahu, Washington mengemukakan permohonan rasmi bagi mengekstradisi pengarah filem berusia 76 tahun itu lewat kelmarin.
Dia berada dalam tahanan pihak berkuasa Switzerland sejak penangkapannya pada 26 September lepas setibanya di sini dari Perancis untuk menghadiri satu festival filem.
Bagaimanapun, prosedur ekstradisi itu dijangka mengambil masa sehingga beberapa bulan kerana peguam Polanski sudah memberitahu, anak guamnya akan menentang perintah tersebut di mahkamah Switzerland.
"Dia akan menentang permintaan AS itu dan akan terus memohon supaya dibebaskan semasa menunggu permohonan AS itu dipertimbangkan," kata peguamnya, Herve Temime di Paris.
Polanski pernah mengaku bersalah di AS berhubung tuduhan melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur tetapi melarikan diri ke Perancis.
Sebelum ini, AS tidak dapat mengekstradisi pengarah filem tersebut kerana ia tidak memiliki perjanjian ekstradisi dengan Perancis.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: