Sunday, October 4, 2009

Amanda tak kisah paparazi




WALAU punya nama yang semakin meningkat naik, Amanda Seyfreid ada cara tersendiri untuk menghindari para paparazi dan tabloid. Baginya, kehidupan mesti diteruskan.

“Jangan lakukan perkara kontroversi dan hidup sebagai manusia normal. Berkawan dan terus bekerja,” ujarnya yang memegang prinsip tersebut.

Gadis kelahiran Pennsylvania ini memang nekad membawa bakatnya dan bukan sekadar menjual wajah. Kecintaannya terhadap lakonan dianggap sebagai satu kehidupan dan dia mahu terus mendapat watak yang hebat.

Semakin dikenali sejak filem Mean Girls dan kemudian berpeluang pula muncul dalam filem Mamma Mia! dengan memegang karakter utama, sebelum ini Amanda banyak bergelumang dalam siri televisyen. Ketika berumur 11 tahun, dia muncul menerusi program TV debut lakonannya, As The World Turns.

Berkolaborasi dengan pelakon papan atas iaitu Meryl Streep, Amanda mengakui berasa rendah diri dengan bakat pemenang Oscar itu. Memegang watak Sophie Sheridan iaitu anak kepada Meryl Streep dalam filem Mamma Mia!, Amanda bakal muncul hari ini pada pukul 9 malam di HBO (Astro saluran 411).

Naskhah ini merupakan salah satu filem siaran saluran tersebut. Promosi yang digelar Chick Flicks adalah pakej pilihan filem-filem yang pasti menarik minat penonton kaum hawa dan disiarkan setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pada 9 malam.

“Meryl Streep merupakan manusia paling cantik yang seseorang pernah jumpa, dalam semua aspek. Orang seperti saya perlu melupakan sebentar apa yang dia pernah capai dan meletakkan diri sama taraf dengannya.

“Dia melayan saya seperti kawannya dan itu sangat mengujakan,” ujarnya yang turut bekerjasama dengan pelakon Pierce Brosnan, Colin Firth, Christine Baranski dan Julie Walters dalam filem tersebut.

Sesudah terbiasa dengan watak-watak naif dan sedikit nakal, untuk tahun mendatang Amanda mungkin tidak dapat lari daripada sentuhan kontroversi. Tahun ini, dia sudah mencipta satu kelainan. Berciuman dengan Megan Fox dalam filem Jennifer’s Body mendatangkan cemburu khalayak.

“Ramai orang di luar sana mahu berbuat sesuatu dengan Megan Fox dan dia sebenarnya pelakon yang bagus. Bibirnya juga penuh, malah kami berdua mempunyai bibir yang baik. Sangat feminin,” ujarnya mengulas babak bercium dalam filem terbarunya itu.

Bukan sekadar itu, Amanda bertemu dua pelakon hebat dan berpeluang ‘menggoda’ mereka dalam filem Chloe. Bergandingan dengan Liam Neeson dan Julianne Moore, dia berbuat nakal dengan Julianne Moore.

“Saya sudah pernah melakukannya, ini akan menjadi lebih mudah,” guraunya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: