Monday, October 19, 2009

Album Riz ditaja Mak Datin?

Penyanyi realiti yang popular dengan lagu, ‘Hanya Sandiwara’, Riz atau nama sebenarnya Mohammed Idris Mohd Zaizizi kini mampu tersenyum puas kerana impiannya untuk melahirkan album solo akhirnya tercapai. Dengan kerjasama komposer terkenal, Ajai, maka lahirlah albumnya berjudul ‘Riz Bermula Semula’ yang mempertaruhkan lapan buah lagu termasuklah ‘Bermula Semula’ dan Harus Ku Pergi’ yang dipilih sebagai ‘single’ pembuka tirai.

Meskipun mengambil masa yang agak lama untuk muncul dengan album sendiri, bagi Riz, penantian itu berbaloi kerana apa yang diharapkan sudah berada di hadapan mata. Namun, di sebalik kegembiraannya itu, ada kata-kata sinis yang mempertikaikan penghasilan album itu seperti spekluasi kononnya kos albumnya itu ditaja oleh peminat fanatiknya yang terdiri dari golongan ‘mak-mak datin’.

Riz yang ditemui ketika pelancaran album solonya di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, itu bagaimanapun menafikan hal tersebut dan menyifatkannya sebagai khabar angin yang tidak berasas. Dia yang agak terkejut dengan dakwaan itu, menjelaskan, segala perbelanjaan albumnya itu ditanggung olehnya sendiri menerusi syarikat pengurusannya, iaitu Riz Entertaiment.

“Kos album ini tak ada kena mengena dengan orang lain kerana saya sendiri yang tanggung. Sejak dulu lagi saya dah menyimpan untuk buat album. Setiap kali dapat bayaran persembahan saya mesti simpan. Bukan sahaja dari show, tapi keuntangan dari Restoran yang saya buka di Greek, Perak, dan dua lagi cawangan lain juga banyak dilaburkan untuk album ini. Mujurlah saya ada juga punca lain untuk menampung perbelanjaan album ini.

“Terus-terang, buat album memang memerlukan duit yang banyak. Untuk buat satu rakaman lagu, bukan sahaja memerlukan masa yang lama tetapi juga kos beribu ringgit. Bayangkan, untuk majlis pelancaran album ini sahaja kosnya sudah mencecah RM30,000. Sebab itulah album ini pun mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Apa pun saya bersyukur kerana hasrat saya untuk jadi penyanyi, ada album sendiri kini dah pun tercapai. Itu pun dengan titik peluh saya sendiri,” katanya yang enggan mendedahkan kos keseluruhan pembikinan albumnya itu.

Yakin dapat sambutan

Walaupun albumnya muncul di saat pasaran muzik yang tidak menentu, apatah lagi sukar untuk dijual, namun Riz percaya album yang diterbitkan oleh syarikatnya, Riz Entertaiment dengan kerjasama Wake The Baby, milik Ajai, mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri. Dengan mengutamakan aspek kualiti dalam setiap lagu yang dimuatkan, anak muda kelahiran Perak ini percaya ‘buah tangan’ pertamanya itu dapat memenuhi selera peminat muzik di negara ini, selain dapat melonjakkan semula namanya di persada seni suara tanah air.

“Saya percaya dengan kerjasama dari Abang Ajai dan beberapa komposer yang ada, album ini boleh dijual. Dengan sokongan yang berterusan dari peminat, saya percaya, album ini akan mendapat sambutan. Malah konsep balada yang dimuatkan dalam album ini, juga masih diminati kebanyakkan masyarakat kita. Selain album, lagu-lagu dalam album ini juga boleh dimuat turunkan sebagai ‘Ring Back Tones’ dan ini juga sebahagian dari stategi jualan sekarang,” katanya yang akan sibuk dengan promosi albumnya selepas ini.

Sementara itu, orang kuat di sebalik pembikinan album Riz, Ajai, memberitahu, sebelum melahirkan album solo Riz, dia sudah mengatur pelbagai stategi bagi memastikan populariti anak muda itu terus bertahan.

“Riz memang sudah popular sejak AF lagi. Tetapi populariti seseorang artis itu boleh tenggelam sekiranya tidak ada lagu. Jadi dalam tempoh setahun, saya merancang pelbagai stategi supaya orang ramai sedar dengan kehadiran Riz dalam industri kita. Dengan menggandingkannya dengan pendatang baru, Alyah, menerusi lagu duet, ‘Ku Pinjam Satu Bintang’. Saya tak sangka, percaturan itu berjaya dan mendapat sambutan dari peminat. Nama Riz juga semakin melonjak. Dari situ saya mula merangka kariernya dan seterusnya menghasilkan album solonya, ‘Bermula Semula’.

“Proses rakaman bermula September 2008 lalu, setelah kami berbincang mengenai material yang sesuai dengan vokalnya. Apa yang saya dapati, suara Riz sangat bagus dalam menyampaikan lagu-lagu balada. Maka konsep ini amat sesuai dengan albumnya. Saya tidak mengambil masa yang lama untuk merakam satu-satu lagu, kerana Riz mempunyai ‘feel’ yang bagus untuk lagu balada. Dia juga rajin membuat latihan sebelum menjalani rakaman. Inilah merupakan sikap yang harus ada pada artis-artis baru,” kata Ajai yang kagum dengan bakat serta sikap yang ada pada Riz.

Selain Ajai, beberapa komposer yang terlibat dalam album ini ialah, Noh, Rosli Manah, Slen, Leez, Omar dan Dean. Lapan buah lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah, Harus Ku Yang pergi, Bermula Semula, kau Wanita, Kehilangan, Cinta Ini, Khlilaf dan single pertamanya, Hanya Sandiwara. Tidak ketinggalan lagu ‘Ku Pinjam Satu Bintang’ yang telah digubah semula dalam versi solo.

Album yang diedarkan oleh Warner music ini bakal berada di pasaran pada penghujung Oktober ini dan bagi peminat Riz jangan lepaskan peluang untuk memiliki album penyanyi kesayangan anda ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: