Thursday, October 23, 2014

Yana Samsudin tunggu lamaran

  • Yana SamsudinYana Samsudin

UMUM mengetahui bintang filem Wawa Semput ini berkawan rapat dengan adik kepada aktor terkenal, Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari.

Malah pelakon berusia 29 tahun ini mengakui sudah bersedia menamatkan zaman solonya sejak awal tahun 2014 lagi.

Meskipun usia perkenalan mereka sudah mencecah angka 5 tahun tetapi pemilik nama Norliana Samsudin memberitahu dia hanya berserah kepada jodoh.

"Kami masih berkawan baik cuma sebagai perempuan saya cuma mampu menunggu dan terus menunggu.

"Apabila sampai masanya, saya akan beritahu kepada semua. Lagipun perkara baik seperti ini pasti menggembirakan keluarga dan peminat saya juga," katanya yang lebih dikenali sebagai Yana Samsudin.

Ujarnya, dia bagaimanapun menyerahkan semuanya kepada Fadzil mengenai hubungan mereka.

"Jika ada perkembangan mengenai status hubungan kami, biarlah ia keluar daripada mulut dia sendiri," jelasnya mahu mendapat restu keluarga dalam memilih calon suami.

Dalam pada itu, Yana juga mengimpikan perkahwinan yang sederhana jika tiba masanya nanti.

"Saya seorang yang 'simple', jadi saya mahu majlis saya nanti juga dilakukan dalam suasana yang sama.

"Kalau boleh, saya tidak mahu majlis tunang dan sebagainya sebaliknya terus bernikah," akui duta produk jenama Super ini.

Rindu MIG?

Tidak bersama Metrowealth International Group(MIG) sejak Mac lalu bukan bererti pelakon yang meningkat naik menerusi syarikat penerbitan popular itu sudah melupakan asal usulnya.

Malah, Yana cukup bersyukur kerana MIG telah membantunya mencipta nama dan karier sehingga ke tahap ini setelah 10 tahun bernaung di bawah syarikat tersebut.

"Walaupun meninggalkan MIG tetapi ia secara profesional. Bila ada masa saya sering ke MIG untuk berjumpa David Teo dan isterinya. Malah, dia masih memberi tawaran berlakon kepada saya.

"Tetapi kerana punya komitmen lain saya terpaksa menolaknya," jelasnya.

Tambah pemilik Yanasuperfriend Talent ini, pada awalnya agak sukar dia menguruskan karier sendiri.

"Tetapi sekarang Alhamdulillah, semua sudah teratur. Buat masa sekarang syarikat saya belum lagi di tahap untuk menguruskan mana-mana artis lain," katanya bakal turun padang memeriahkan on9 Shop Festival di Stadium Tertutup Gong Badak Terengganu 31 Oktober ini dan festival di Stadium Melawati Shah Alam 1- 2 November ini.

Tidak hanya tertumpu kepada sisi peribadi, Yana yang dikenali sangat komited kepada kariernya memberitahu, dia sangat sibuk sejak bergelar duta kepada produk jenama Super.

"Sebab itulah saya terpaksa tolak tawaran lakonan dalam masa beberapa bulan lepas. Bukan kerana tidak mahu berlakon tetapi saya jenis yang memberi komitmen penuh kepada satu-satu kerja yang diterima.

"Saya tidak mahu membuat banyak kerja dalam satu masa, bimbang pula menyusahkan orang lain," ujarnya yang akan kembali aktif berlakon November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: