KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer Aizat Amdan tidak mempunyai sebarang sebab untuk berkecil hati apabila album terbaharunya berjudul Legasi tidak mendapat sebarang pencalonan dalam kategori utama Anugerah Industri Muzik ke 21 (AIM21) yang bakal berlangsung pada 6 Disember depan.
Aizat, 25, berkata, dia yakin dengan penilaian juri profesional yang mengadili album tersebut dan menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.
"Itu adalah keputusan muktamad daripada juri dan saya tidak berkecil hati kerana tidak tercalon dalam kategori utama AIM edisi tahun ini.
"Kesemua juri yang dilantik mempunyai pengalaman dalam bidang masing-masing dan semua calon yang tersenarai adalah terbaik," katanya kepada mStar Online.
Aizat bersama albumnya berjudul Legasi.
Aizat ditemui pada sidang media majlis pengumuman calon akhir AIM 21 yang diadakan di Hotel Istana di sini pada Selasa lalu.
Penyanyi lagu Pergi itu bagaimanapun hanya tercalon dalam kategori Kulit Album Terbaik bersama pereka Art: Tech.
Dalam pada itu, Aizat berkata, dia berpuas hati dapat tercalon dalam kategori tersebut kerana ia dapat memberi pengiktirafan kepada penat lelah pereka yang turut memainkan peranan penting dalam pembikinan sesebuah album.
Malah katanya, kulit album juga adalah salah satu ekspresi muzik dalam bentuk visual yang mampu menterjemahkan isi kandungan muzik sesebuah karya itu.
"Kulit album adalah salah satu kompenan penting dalam sesebuah album dan bukan hanya muzik. Saya sendiri teruja dengan pencalonan dalam kategori ini kerana usaha pihak Art: Tech mendapat perhatian," katanya.
Sementara itu, Aizat berkata, selain sibuk dengan pelbagai undangan nyanyian dan kerja-kerja di studio, dia baharu sahaja melancarkan single terbaharu bersama Elizabeth Tan dan Waris berjudul Aku Ikon Patriotik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: