Wednesday, October 22, 2014

Tasha Shilla Kesal Digelar 'Gadis Liar'


Tasha kekal positif dengan segala gosip dan kontroversi melandanya. 
PETALING JAYA: Pelakon Tasha Shilla kesal dengan tohmahan sesetengah pihak yang melabelnya sebagai 'gadis liar' berhubung gosip mengatakan dia melakukan perkara tidak senonoh bersama kekasihnya di sebuah lokasi penggambaran baru-baru ini.

Tasha, 28, bagaimanapun berkata, sebagai seorang selebriti dia tidak cepat melatah apabila timbul cakap-cakap sedemikian sebaliknya terus kekal positif dan fokus terhadap kerjayanya sebagai pelakon.

"Sudah tentu saya kecewa dengan label sebegitu dan bagi saya tuduhan seperti itu tidak adil kerana sesetengah orang begitu mudah menghukum tanpa mengetahui situasi sebenar.

"Pun begitu saya harus anggap ia adalah lumrah biasa sebagai seorang selebriti dan apa yang boleh saya lakukan kekal positif dan meneruskan kerja saya seperti biasa," katanya kepada mStar Online.

Tasha ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai pengacara bersama Anugerah Skrin 2014 di Sri Pentas, Bandar Utama di sini pada Isnin lalu.

Tujuh artis lain yang bakal bersamanya pada malam kemuncak itu nanti adalah Zul Ariffin, Amyra Rosli, Nabila Huda, Shukri Yahya, Fiza Sabjahan dan Fara Fauzana manakala Fahrin Ahmad bertindak sebagai hos utama.

ASK 2014 bakal berlangsung pada 7 November depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada pukul 8 malam.
Hubungan Tasha dan Han sentiasa menjadi perhatian. 
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai gosip melibatkan kekasihnya itu, Tasha berkata, Han memilih untuk tidak lagi mencampuri urusan kerjaya seninya kerana bimbang akan memberi kesan lebih buruk kepadanya.

Bagaimanapun Han sentiasa memberikan sokongan malah sentiasa menasihatinya supaya lebih berhati-hati agar namanya tidak terus menjadi bahan gosip dan kontroversi.

"Dia masih temankan saya ke majlis anugerah atau acara tertentu tetapi tidak lagi mahu ditemubual atau mencampuri urusan melibatkan karier saya selepas melihat kesan gosip dan kontroversi.

"Tetapi saya harus memuji sikapnya yang kuat dengan segala tuduhan mengaitkan namanya dan dia juga sentiasa menasihati saya agar lebih berhati-hati selepas ini," jelasnya.

Sementara itu, Tasha tidak melihat perkahwinan adalah jalan terbaik buat mereka berdua menamatkan segala cakap-cakap tidak baik tentang mereka sejak kebelakangan ini.

Kata Tasha, sebagai manusia biasa dia hanya mampu merancang namun menyerahkan soal tersebut kepada jodoh kepada Allah.

"Siapa tidak mahu berkahwin? Tetapi biarlah ia atas niat yang betul dan bukannya hanya kerana ingin memuaskan hati orang lain.
Tasha (kanan, belakang) bersama rakan-rakan artis yang bakal bertindak sebagai hos bersama ASK 2014.
"Bagi saya sendiri usaha ke arah itu ada cuma masih belum sampai masa lagi," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Tasha berkata, dia teruja bakal menjadi hos bersama ASK 2014 biarpun berasa gugup untuk mengendalikan segmen dalam acara berprestij itu.

Bagaimanapun kata Tasha, ASK 2014 adalah platform terbaik untuknya menimba ilmu dan pengalaman selain keluar daripada zon selesanya sebagai pelakon.

"Alhamdulillah saya berterima kasih atas kepercayaan diberikan dan akan menggunakan sedikit pengalaman dan ilmu mengendalikan program Galaksi dan di acara karpet merah Anugerah Blockbuster tahun lalu untuk ASK 2014.

"Pasti akan ada kelemahan tetapi saya akan ambil ia sebagai satu bentuk pembelajaran untuk kegunaan masa hadapan," katanya yang sedang sibuk dilokasi penggambaran drama bersiri Tabir Zulaika.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: