RAMAI yang menyangka bahawa si comel seharusnya bersifat tenang dan santai. Sebenarnya, tanggapan itu salah. Kita seharusnya lebih rasional dan memahami sifat sebenar seekor kucing. Harus diingat, kucing adalah haiwan karnivor dan sesetengah tabiat sebenarnya telah berakar umbi sejak awal kelahiran dan amat sukar untuk diubah.
Pertama: Memburu
Tabiat memburu pada waktu malam dan membawa hasil tangkapan pulang ke rumah merupakan sifat semula jadi kucing. Bayangkan mereka berusaha sedaya upaya memanjat dan melompat di bahagian tinggi semata-mata untuk menangkap cicak atau serangga lain. Hasil tangkapan yang telah dibunuh akan dibawa kepada penjaga.
Tujuannya adalah untuk mendapat kredit atau pujian daripada kita. Akibatnya, tidur kita akan terganggu dengan bunyi bising dan keletah haiwan ini. Bagaimanapun, anda jangan cepat melenting kerana ada kaedah mudah untuk melatih si comel. Antaranya, luangkan sedikit masa sebelum tidur bermain dengan kucing.
Ia sudah memadai bagi menunjukkan perhatian anda. Pemilik boleh menggunakan penyumbat telinga sebelum tidur. Kaedah ini dibuat setelah sesi bermain selesai. Dengan cara ini, kita akan kurang memberi layanan sekali gus membuatkan si comel faham bahawa kita memerlukan ruang rehat. Pemilik disarankan untuk menyediakan ruang untuk kucing bermain seperti Cat Tree, Scratch Pad dan permainan lain yang dicipta khas untuk membuatkan si comel leka sekali gus mengurangkan naluri memburu.
Kedua: Mengunyah
Kebanyakan kucing terutamanya anak kucing gemar menggigit peralatan atau perkakasan rumah kerana kucing merupakan haiwan pemburu. Bila dijadikan haiwan kesayangan, aktiviti kucing akan terkekang. Namun, naluri liar masih wujud dalam diri haiwan ini. Kadangkala, sifat sebegini boleh membawa keburukan malah mengundang maut buat si comel. Contohnya, mereka mula mengunyah kabel elektrik. Bagi mencegah perbuatan itu sangat mudah. Sediakan alat-alat permainan khas untuk kucing bermain. Pastikan semua kabel elektrik disorokkan jauh daripada kucing. Jika tiada ruang, kabel tersebut boleh dibalut menggunakan pita pelekat yang tebal dan melekit. Ini kerana kucing tidak suka kepada objek yang melekit dan pasti akan menjauhkan diri daripada objek tersebut.
Kita juga boleh menggunakan semburan khas yang ada di pasaran. Pastikan semburan yang dibeli diperbuat daripada sumber organik bagi menggelakkan masalah lain.
Ketiga: Buang air merata-rata
Biasanya, si comel membuang najis di dalam kotak pasir yang disediakan. Ada kemungkinan pembuangan air merata-rata ini kerana si comel mengalami masalah kesihatan. Pemilik disaran supaya membawa kucing anda ke klinik veterinar untuk pemeriksaan dan rawatan yang sewajarnya.
Jika veterinar mendapati mereka sihat dan tidak mengalami masalah kesihatan, cuba kenal pasti masalah yang mungkin wujud di rumah.
Sesetengah kucing tidak suka berkongsi kotak najis. Kehadiran ahli baharu dalam persekitaran haiwan itu mungkin mengundang ketidakselesaan dan bau kucing lain mendorong kucing untuk mencari lokasi tandas berbeza. Bagi mengatasi masalah ini, sediakan tandas lain untuk kucing itu.
Kucing sebenarnya haiwan yang pembersih. Sebarang kekotoran di kotak najis akan menyebabkan mereka berasa geli dan mula mencari ‘tandas baharu’ yang lebih bersih. Jika tidak, pemilik anda mungkin berdepan dengan masalah apabila kucing memilih penjuru rumah, longgokan kain yang baru dicuci dan bakul lipatan sebagai tandas mereka. Penyelesaian kepada masalah ini adalah dengan memastikan kotak najis dibersihkan sekerap mungkin.
Jika kotak najis bertutup, pastikan bahagian penutup kotak najis juga bersih daripada sebarang tempekan najis. Tukar pasir tandas sekerap mungkin. Elakkan penggunaan pasir yang berbau, mempunyai permukaan kasar dan keras.
Pastikan lokasi tandas kucing tidak berada di kawasan yang agak bising, berkuap atau kawasan yang sibuk seperti laluan utama dalam rumah.
Sebaik-baiknya, letakkan kotak najis di sekitar kawasan tersorok yang memberi privasi kepada si comel untuk membuang air. Kejutan sewaktu menggunakan tandas mengakibatkan si comel terperanjat dan keluar sebelum habis melunaskan ‘hajat’. Akibatnya, najis berciciran dalam rumah.
Biasanya, ia dilakukan oleh kucing jantan. Ia akan berdiri di sudut penjuru, sambil menegakkan ekor dan memancutkan air kencing di kawasan tersebut. Perlakuan merembeskan bauan ini berfungsi untuk menarik perhatian si betina untuk mengawan. Si betina juga boleh berbuat sedemikian tetapi jarang berlaku. Bagi mengawal perlakuan itu kaedah pemandulan boleh dilakukan sebelum si comel mencecah usia matang.
Keempat : Mencakar
Mencakar merupakan tabiat yang kurang disukai pemilik kucing kerana ia merosakkan harta benda atau peralatan rumah terutama perabot. Bagaimanapun, itulah risiko yang perlu didepani oleh pemilik-pemilik kucing.
Ada satu kaedah bagi mengatasi masalah ini iaitu dengan membuang kuku kucing secara kekal. Namun, kaedah ini bukanlah satu penyelesaian kerana ia haram dan menyeksakan haiwan. Bagi mencegah masalah tersebut, sediakan satu Cat Tree yang agak tinggi bagi kucing mencakar dan bermain. Letakkan Cat Tree tersebut di kawasan yang lapang dan terbuka atau berdekatan dengan lokasi objek yang suka dicakar. Kucing juga sangat suka mencakar sebaik sahaja mereka bangkit daripada tidur, ada baiknya jika satu Cat Tree disediakan berdekatan lokasi kucing tidur.
Memotong sedikit bahagian hujung kuku kucing juga membantu mengurangkan kesan cakaran. Cuma kaedah ini harus dilakukan dengan berhati-hati. Kesilapan memotong kuku boleh mengundang padah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: