Wednesday, October 1, 2014

Hardy, Kilafairy realistik




BIDUK asmara yang melalui tautan rindu yang terpisah antara Kuala Lumpur, Malaysia dan Jakarta, Indonesia bagai mengiyakan hakikat bahawa dua hati yang sedang bertaut ini berada dalam sebuah ikatan cinta.
Pola-pola keakraban dan kemesraan yang terjalin tatkala dua figura yang digandingkan untuk sesi fotografi khas kali ini bukan lagi suatu tanda tanya.
Kilafairy dan Hardy Hartono sudah lama menyimpan rahsia yang dirisik peminat dua negara Malaysia dan Indonesia; adakah benar mereka berdua yang sedang bercanda di hadapan penulis terselam dalam alam fana cinta?
Masih dengan ketetapan serupa, sama seperti temu bual terdahulu Kilafairy menjelaskan, Hardy merupakan lelaki yang paling rapat dan mengunci hatinya untuk setia.
"Kawanlah, lebih baik kekal dalam peringkat berkawan. Masanya belum sampai lagi untuk kami meletakkan hubungan ini sebagai pasangan kekasih.
"Lagipun perjalanan saya masih panjang, karier pun baru bermula. Adalah lebih baik untuk tidak terikat dengan sebarang komitmen cinta buat masa sekarang melainkan kerjaya.
"Kalau mahu bercinta perlu kenal lebih lama, proses sekarang saling mengenali dan saya tidak boleh sasarkan berapa lama tempoh tersebut. Untuk mengaku bercinta bukan sekarang dan saya tidak mahu rasa terpaksa.
"Mungkin pada usia 25 tahun kelak saya akan mula memikirkan soal cinta dan perkahwinan. Saya pun mahu memiliki aset sendiri terlebih dulu," lentur bicara Kilafairy serius.
Hardy lelaki paling rapat
Susah atau tidak perhubungan jarak jauh, hanya mereka yang faham kerana itu haluan yang dipilih. Ujar pelakon itu, telekomunikasi dan teknologi canggih pemudah cara.
"Whatsapp dan Skype ada untuk mendekatkan kami. Itu pun sekiranya masing-masing tidak sibuk, buat masa sekarang kami selesa dan mudah dengan perhubungan ini," katanya yang turut kerap ke Jakarta, Indonesia atas urusan perniagaan bersama ibunya, Rohana Jalil.

HARDY mengaku dirinya seorang pemalu, mana kala Kilafairy pula lebih bersifat terbuka.


Pemilik nama sebenar Syakila Nisa Jahangir Khan, 22, dalam pada itu memberitahu sepanjang tiga tahun usia perkenalan, Hardy satu-satunya lelaki yang membuatkan dia selesa.
"Dia matang dan penyabar dan faktor umurnya juga membuat dia banyak memberi nasihat kepada saya.
"Ini termasuklah perkongsian pengalaman tentang industri lakonan di Indonesia. Kami menyokong satu sama lain dan dia pun tidak menghalang kerjaya saya," katanya yang sudah berjumpa keluarga masing-masing namun belum pernah membincangkan soal perkahwinan mereka.
Terbang tinggi merentas Selat Melaka, baik Kilafairy mahu pun Hardy, masing-masing tidak meletakkan harapan tinggi untuk menembusi pasaran seni di negara asing.
Jelas Kilafairy, dia tidak pernah merancang untuk mencari makan di Indonesia memandangkan persaingan sesama pelakon di sana juga bukan calang-calang.
"Semua orang punya impian untuk masuk ke pasaran antarabangsa tapi saya tahu perkara itu bukannya senang. Kalau ke Indonesia pun bukan kerana Hardy, malah dia sendiri pun belum cukup terkenal apabila datang berlakon di Malaysia," jelasnya.
Bercumbu di KLIA
Menjentik soalan nakal berhubung gosip yang tersebar di internet mengenai perilaku Kilafairy dan Hardy yang didakwa bercumbu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa bulan lalu sebelum ke Hong Kong, wanita itu hanya tertawa.
Tegas, dia menafikan hal tersebut kerana menurutnya, tidak pernah terfikir untuk bertindak sedemikian yang kesannya akan menjejaskan kerjaya dan memalukan keluarganya.
Pertuduhan itu mengarut!
"Dalam gambar yang tersebar hanya ada saya, kakak saya dan keluarga saya. Lagi pun, tujuan saya ke sana atas urusan perniagaan dan bercuti, kebetulan pula Hardy dan beberapa kenalannya juga ke sana," tegasnya.
Hal itu ditegaskan sendiri oleh Hardy Hartono yang melihat gosip itu sebagai perkara enteng yang tidak akan menjejaskan karier atau kehidupan peribadinya.
"Saya tidak marah dan saya langsung tidak ambil pusing mengenai hal itu (bercumbu) kerana memang cara saya yang tidak menjenguk laman sosial atau internet.
"Dia ada memaklumkan kepada saya tetapi tidak pula ada foto kami berdua bercumbu pun. Secara azali, saya seorang yang pemalu.
"Berpegangan tangan pun saya segan apatah lagi untuk bercumbu di hadapan khalayak ramai. Cakaplah apapun, saya tidak kisah dan tidak menyusahkan saya pun," ujar Hardy membuka bicara.
KILAFAIRY dan Hardy tidak mahu meletakkan sebarang harapan besar dalam hubungan baik mereka.


Yin-Yang Hardy
Meluangkan waktu lima hari berada di ibu kota Kuala Lumpur, pelakon dan model terkenal Indonesia itu mengakui selesa untuk berkunjung lebih kerap ke Malaysia.
Kata pemilik nama penuh Hardy Hartono Danurussami, selain faktor persekitaran yang berbeza dari ibu negaranya, Jakarta, Kuala Lumpur tersimpan sebutir permata yang sedang berkilau di hatinya.
"Sepanjang tempoh tiga tahun ini saya memang kerap berkunjung ke Malaysia, selain atas tujuan kerja antara lainnya kerana mahu melawat kawan-kawan saya termasuk Kilafairy.
"Ya, saya dan keluarga dia juga rapat dan saya selesa berteman baik dengannya. Dia masih muda dan sering membuatkan saya gembira kerana keperibadiannya yang ceria.
"Bagi saya, dek kerana personaliti yang berbeza membuatkan kami boleh kekal bersama. Saya pemalu manakala dia suka bercakap.
"Antara lainnya, kami berdua tidak banyak memendam perasaan. Kalau ada ketidakpuasan hati kami akan berterus terang apatah lagi untuk membahaskan perkara remeh-temeh," jelasnya mengenai formula kekal berteman rapat bersama Kila.
Sama seperti Kilafairy, Hardy menyifatkan hubungan mereka sekadar berkawan.
Katanya: "Kami berkawan, tapi siapa tahu suatu masa nanti kalau ada jodoh mungkin akan ke peringkat selanjutnya."
Popular bertempat
Hardy, 31, pada masa sama menegaskan dia tidak kisah sekiranya hubungannya dengan Kilafairy memperkenalkan dirinya kepada khalayak di Malaysia.
Populariti tidak memandu hasrat Hardy untuk tampil lebih dikenali di negaranya sendiri, Indonesia. Ujar pelakon kacukan Belanda-Indonesia itu, dia lebih gemar mencipta satu ruang privasi buat diri dan keluarganya.
"Bersifat introvert (antisosial) dan protektif, itulah diri saya. Tidak kisahlah apa orang mahu gelarkan saya, asalkan tidak menyentuh privasi saya maka tidak perlulah melenting.
"Nama saya di Indonesia makin kukuh, cuma saya bukan seorang yang suka keluar rumah dan mencari perhatian di media.
"Selagi tawaran masih ada tandanya kerjaya saya tiada masalah," kata pemain sinetron Aqso Dan Madina, 1 Cinta Beda Rasa dan Dinda Kirana itu menutup bicara.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: