Ella mahu masuk Felda. Begitu pengakuan yang dibuat penyanyi yang digelar Ratu Rock negara itu demi mencapai matlamat penjualan album baharunya kelak tepat kepada sasaran.
Ironi, pada masa kini saat banyak anak muda memilih penjualan album menerusi digital kerana peredaran masa, Ella pula memilih untuk kembali menjual album seperti zaman 80-an dengan mendekatkan diri kepada khalayak di luar bandar.
Lebih menarik, ia merupakan strategi serampang dua mata apabila penyanyi berusia 48 tahun itu bukan sekadar mahu menjual album baharunya, tetapi turut merancang sebuah konsert jelajah sempena ulang tahun ke-28 pembabitannya sebagai anak seni.
“Buat masa ini, album tersebut sudah 60 peratus siap pembikinannya. Saya memilih untuk masuk ke beberapa gugusan Felda yang terpilih bagi mempromosikan album baharu tersebut.
“Selain menjual album, saya teruja untuk mengadakan konsert di dalam Felda dan mendekatkan diri saya dengan peminat di luar bandar seperti dahulu,” jelas Ella yang ditemui di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercerita tentang album terbaharunya terlebih dahulu, Ella memberitahu dia menggunakan khidmat komposer tersohor Datuk M. Nasir serta Sam Bunkface yang disifatkannya sebagai seorang komposer muda berbakat besar.
“Saya menyifatkan Sam sebagai komposer muda yang punya banyak kelebihan. Selain komited, Sam punya ilmu muzik yang ‘mahal’,” ujar Ella tentang Sam yang menulis sebuah lagu berjudul Istimewa.
28 tahun
Mengakui dirinya seorang yang memilih, Ella memberitahu bahawa kemunculannya semula dalam konsert jelajah yang dirancang pada hujung tahun ini memerlukan kesempurnaan dari banyak segi dan bukan hanya untuk suka-suka.
Tempoh 28 tahun berkecimpung dalam industri seni memungkinkan Ella memilih yang terbaik untuk mengisi kanvas perjalanan kariernya.
“Sebenarnya saya sudah lama mahu membuat konsert tetapi saya jenis seorang yang sangat memilih, kepuasan dan kesempurnaan dari semua segi.
“Saya tidak mahu melakukan konsert tanpa sasaran. Sebaliknya setiap sesuatu yang saya lakukan mestilah ada perkara dan motif yang mahu disampaikan kepada penonton. Konsert bukan untuk suka-suka tetapi perlu ada sesuatu untuk dipersembahkan kepada penonton yang hadir,” ujar pelantun lagu Pengemis Cinta itu.
Sesekali bergurau senda dengan lagak badannya yang liuk lentok, Ella yang juga baru selesai menjalankan penggambaran di Indonesia untuk klip video lagu duetnya bersama penyanyi dari negara itu, Anji turut berkongsi perkembangan kesibukan jadual hariannya.
“Selain sibuk menguruskan album baharu, saya juga kini sibuk dalam urusan program Mentor Legend yang akan bersiaran di TV3 pada 16 November ini pukul 9 malam. Uji bakat untuk mencari protege saya akan diadakan pada 18 dan 19 Oktober ini.
“Saya tidak memilih apa kriteria yang harus ada pada protege saya. Cukuplah jika dia seorang yang bagus, berbakat dan pandai menyanyi.
Tidak ada masalah untuk saya kongsikan apa sahaja ilmu kepadanya nanti,” ujarnya sambil tersenyum manis.
Tidak ketinggalan, Ella turut berkongsi kisah kehidupannya yang kini bahagia melayari alam berumah tangga bersama juruterbang FireFly, Azhar Husaini Ghazali.
Selepas dua tahun berkahwin, dia menyatakan, hidupnya normal seperti orang lain tetapi mengakui bahagia mempunyai seorang suami yang sangat memahami dan penyayang.
“Walaupun dia (Azhar) sibuk dengan tugas dan sehingga pada tahap dia hanya ada di rumah sebulan sekali, namun itu semua tidak menjadi masalah kerana saya juga sibuk dengan kerja.
“Jadi, dia memahami saya dan saya memahami dia. Selalu saya berharap dia dapat ikut menemani saya bekerja tetapi tidak boleh kerana dia juga bekerja dalam bidang yang tidak menentu masa bertugas.
“Kami hanya dapat keluar bersama sebulan sekali sahaja. Tapi jika ada masa terluang, saya teringin untuk melakukan aktiviti jamming bersama suami di rumah,” ujarnya manja mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: