Monday, October 13, 2014

Abang Lan 'doktor kasut' diminati ramai


  • Abang Lan tekun menjahit kasut yang dihantar pelanggannya.Abang Lan tekun menjahit kasut yang dihantar pelanggannya.

KUALA TERENGGANU – Kelibatnya sering dinanti malah ada juga yang resah jika Ramlan Talib, 58, tidak berada di tempat membaiki kasut miliknya yang terletak di tepi laluan pejalan kaki di belakang sebuah bank di tengah bandar raya ini.

Ramlan yang mesra disapa dengan panggilan Abang Lan merupakan ‘doktor kasut' diminati penduduk bandar kerana mampu membaiki kerosakan pelbagai jenis kasut lelaki mahupun kasut tinggi wanita.

Menariknya, dia mampu menyiapkan kasut yang dibaiki dalam tempoh singkat.

Kehadirannya di laluan pejalan kaki itu juga boleh diibaratkan sebagai penyelamat bagi membantu golongan bekerja di pejabat kerajaan mahupun swasta yang mengalami kerosakan kasut pada waktu yang tidak diduga.

Menurut Ramlan, kerjayanya sebagai seorang tukang kasut telah bermula sejak 30 tahun lalu.

“Sebelum menjadi tukang kasut, saya melakukan pelbagai pekerjaan sehinggalah mahir menjahit kasut setelah belajar dengan seorang kawan.

"Akhirnya saya pilih bidang ini dan jadi tukang kasut kerana yakin mampu peroleh pendapatan untuk menyara keluarga," katanya.

Kata Abang Lan, banyak tempat sudah dijelajahi di segenap ceruk bandar raya Kuala Terengganu.

"Lokasi sekarang sangat sesuai, ramai pelanggan dan selesa untuk bekerja," katanya yang merupakan warga Indonesia.

Namun, dia  akui pekerjaan tukang kasut tidak diminati golongan muda kerana selain dianggap tidak mampu memberi pendapatan lumayan, mereka juga malu dengan gelaran ‘tukang kasut’.

Dia bagaimanapun enggan dedahkan pendapatannya tetapi hasil diperoleh dihantar kepada isteri dan anaknya di Riau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: