Thursday, August 2, 2012

Sajian dari Negara Matahari Terbit

ASNIDAR HANIM (kanan) menunjukkan mini bufet yang ditawarkan di O-Shima Cafe sepanjang bulan Ramadan ini.


BAGI yang ingin kelainan ketika menikmati juadah berbuka nanti, bolehlah berkunjung ke O-Shima Cafe yang terletak di Shah Alam Walk, Shah Alam di sini.

Berkonsepkan santai dan terbuka, kafe yang dimiliki pasangan suami isteri, Nor Ashraf Abd. Wahab dan Asnidar Hanim Yusuf itu menawarkan lebih 100 hidangan popular dari Negara Matahari Terbit.

"Selama ini makanan Jepun banyak diusahakan orang bukan Islam membuatkan ramai yang berasa was-was akan status halalnya.

"Disebabkan itu, kami mengusahakan kafe ini dengan menggunakan bahan dan ramuan tempatan yang segar serta halal," katanya.

Antara sajian yang seringkali menjadi pilihan pengunjung di situ ialah unagi bento (nasi belut panggang) yang mempunyai tekstur lembut dan enak.

"Terdapat juga aneka ramen (mi sup) yang boleh dicuba miso yummy ramen (ayam rebus bersama jagung dan rumpai laut) dan prawn mania ramen (udang bersalut serbuk roti)," katanya.

Hidangan popular lain ialah sushi, tempayaki, don (set nasi putih), agemano (sajian bergoreng), sup miso, tempura (udang atau sayur goreng tepung) dan agemano (ikan atau ayam panggang).

Sempena Ramadan, O-Shima Cafe turut menyediakan pakej bufet mini kepada pelanggan.

"Antara hidangan yang ditawarkan melalui pakej ini ialah ramen, tempura, sup miso, chohen (nasi goreng) dan saba shioyaki (ikan makarel panggang).

"Di samping itu, terdapat juga aneka sushi yang dihidangkan berbeza setiap hari, pencuci mulut dan minuman panas serta sejuk." katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: