|
|
PERKARA yang paling menggembirakan buat setiap wanita yang bergelar isteri sudah tentu apabila disahkan mengandung anak sulung. Nyata, perasaan itu kini dialami pelakon Rabecca Nur Al-Islam Ahmad apabila disahkan mengandung buat kali ketiga selepas dua kandungan terdahulunya gugur.
Melayari bahtera rumah tangga bersama ahli perniagaan, Nor Azam Sulaiman sejak mengikat tali pernikahan pada 14 Januari tahun lepas, kini dia sedang mengandung bayi pertamanya dari darah dagingnya sendiri dan dia dijangka melahirkan bayi perempuan pada awal November ini.
Pelakon filem Keramat yang lebih mesra dengan panggilan Becca itu kini sudah tidak sabar-sabar lagi untuk membeli kelengkapan bayinya itu, namun dia akur dengan pantang larang orang-orang tua supaya membeli kelengkapan ketika kandungan berusia lapan bulan ke atas.
Disebabkan dia sudah ada pengalaman duka bayi terdahulu yang dikandungnya gugur ketika berusia beberapa minggu, Becca kini agak fobia dan mengamalkan pantang larang orang tua bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Ketika ditemui di rumahnya di Sering Ukay Perdana, luah Becca: “Saya kena tunggu kandungan berusia lapan bulan dahulu. Orang tua-tua cakap tak elok beli barangan bayi pada awal kandungan, saya ikut pesanan itu sebagai langkah berjaga-jaga.”
Beritahunya yang kini mempunyai seorang anak berusia empat tahun iaitu Nor Adam Daniel, perasaan tidak sabar untuk membeli barang seperti katil, kereta sorong dan baju bayi itu amat luar biasa sekali dirasakannya.
Rahsiakan nama anak
Sungguhpun sudah mempunyai dua anak tiri, Nor Arif Qayyum, 16, dan Nor Khaiyrin Sofiya Nor Azam, 10, selain Adam, Becca bagaimanapun berjanji untuk memberikan kasih sayang yang sama rata tanpa mengira sama ada mereka anak kandungnya atau tidak.
“Adam sendiri sekarang bukan main lagi apabila perut saya sudah kelihatan, dia selalu cium perut saya dan sangat cemburu dan marah apabila papanya (Nor Azam) buat perkara yang sama kerana bagi Adam dia seorang yang boleh cium baby,” katanya.
Begitu juga dengan Nor Arif dan Nor Khaiyrin, kata Becca, mereka juga teruja untuk mendapat adik baharu dan sering mengajaknya untuk membeli barangan bayi.
Tambah Becca, sepanjang mengandung, dia tidak mempunyai sebarang kesukaran yang ketara kecuali mual ketika kandungan berusia dua dan tiga bulan.
“Sekarang sudah okey, cuma sepanjang bulan puasa, saya tidak tahan lapar kerana bayi mesti menendang-nendang jika lapar,” jelasnya yang ingin merahsiakan nama yang dipilih kepada bayinya itu.
Dia memberitahu lagi, perubahan dirinya ketika mengandung tidak ada yang sangat ketara melainkan kulitnya yang kelihatan lebih gelap dari kebiasaan.
“Syukur saya tidak alami masalah macam sesetengah ibu mengandung lain, cuma kulit saya macam gelap sikit, orang tua cakap kalau mengandung bayi perempuan dia akan ambil seri ibunya,” kata yang pernah berlaku drama bersiri Dejavu Di Kinabalu.
Becca turut memberitahu, anaknya Adam turut menunjukkan sikap yang agak lasak dari kebiasaan ketika dirinya disahkan mengandung.
“Dia jadi kanak-kanak yang hiperaktif. Mungkin dia mahu perhatian saya dengan selalu melakukan perkara yang di luar jangkaan. Saya pernah dengar cerita kalau budak mahu dapat adik selalunya begitu, jadi saya akur dan tidak terlalu tegas dengan perangainya itu,” jelasnya.
Beraya di Johor
Selain mengandung anak sulung, Becca turut teruja untuk menyambut Aidilfitri, apabila tahun ini adalah giliran mereka sekeluarga beraya di kampung halaman Becca di Johor Bahru, Johor.
Jika tahun lepas Becca sekeluarga telah pulang ke kampung keluarga suaminya di Sarawak, kali ini giliran beraya di Johor pula.
“Kami sekeluarga pulang dua hari sebelum Aidilfitri selama seminggu,” ujarnya yang menggemari semua jenis masakan yang berasal dari kampung halamannya.
Dia memberitahu, keseronokan dapat pulang ke Johor apabila dapat bertemu adik-beradiknya dan kemeriahan menyambut Aidilfitri cukup dirasai kerana dia mempunyai saudara yang rama di sana.
“Saya ada lapan adik-beradik, itu tidak termasuk 15 orang anak buah lagi, memang meriah dan seronok sangat,” jelasnya yang sudah tentu menikmati lontong Johor sebagai juadah wajib hari raya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: