NAMUN, dewasa ini laporan pembuangan bayi luar nikah semakin menjadi-jadi di negara kita. Adalah tidak adil apabila terdapat tanga -tangan yang tidak berperikemanusiaan sewenang-wenangnya bertindak membuang bayi yang baru dilahirkan itu tanpa perasaan belas.
Kita perlu sedar bahawa bayi yang baru dilahirkan juga mempunyai hak untuk terus hidup dan mendapat hak-hak mereka sebagai manusia.
Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Farah Dusuki berkata, kewujudan undang-undang berkenaan hak terhadap kanak-kanak sangat penting.
Ia bertujuan melindungi , mencegah dan menghukum kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Ketiga-tiga aspek ini perlu ditekankan sama banyak supaya bayi-bayi tersebut mendapat keadilan yang sewajarnya sebagai manusia.
Tambahnya, akibat tidak mempunyai ilmu dan perasaan takut yang menguasai diri, remaja yang terlibat mengandung anak luar nikah tidak boleh berfikir secara waras apabila berada dalam situasi berkenaan
Perasaan takut akan menguasai diri. Demikian, akan menyebabkan mereka bertindak di luar kawalan sehingga sanggup melakukan perkara di luar batas norma kehidupan seperti membuang dan membunuh bayi yang baru dilahirkan tersebut," katanya.
Ujarnya lagi, kanak-kanak di bawah umur mempunyai potensi untuk terlibat dengan perkara sedemikian.
Dari awal lagi, mereka perlu diberi pendidikan tentang kesalahan perilaku seks bebas supaya mereka tidak terlibat dengan kejadian melahirkan anak luar nikah.
Bayi yang baru dilahirkan mempunyai hak untuk hidup seperti yang termaktub dalam Perkara 6 Hak Kanak-Kanak di bawah akta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Siapa kita untuk menghukum mereka. Kalau mereka yang terlibat yakin dengan hak-hak itu, tidak mungkin timbul perasaan untuk membuang bayi-bayi yang tidak berdosa itu," katanya.
Kata Dr. Farah lagi, hak seterusnya adalah hak untuk mengekalkan identiti bayi selepas mereka dilahirkan.
Contohnya, jika bayi tersebut lahir di Malaysia, identitinya sebagai bangsa Malaysia berhak dikekalkan.
Seterusnya hak untuk didaftarkan kelahiran mereka sebagai warganegara dan hak-hak yang seterusnya yang layak diperolehinya. Jika bayi tersebut tidak melalui proses pendaftaran ketika dilahirkan, cara ini ditakuti akan membawa masalah besar kepadanya apabila dewasa kelak," katanya.
Beliau menambah, jika mereka yang terlibat menyedari bahawa bayi-bayi tersebut juga mempunyai hak terhadap diri mereka sudah tentu tidak akan berlaku kes penganiayaan bayi.
Sebagai ibu bapa kebajikan anak-anak remaja perlu diletakkan sebagai pertimbangan utama dalam mencapai keputusan yang melibatkan kehidupan mereka.
Sebagai orang dewasa kita selalu kata anak adalah penting, tetapi pernahkah kita memahami kehendak dan melihat kecenderungan mereka.
Sebenarnya, apa yang diperlukan oleh anak-anak remaja kita adalah perhatian daripada ibu bapa mereka. Kadang-kadang sebahagian ibu bapa tidak menyedari keputusan yang dibuat mereka untuk kehidupan anak-anak tidak selari dengan kecenderungan mereka," katanya.
Jelasnya, apabila ibu bapa tidak memahami keperluan dan kehendak yang diingini oleh anak-anak menyebabkan lama kelamaan mereka mula menjauhkan diri dari dari kita.
Sepatutnya, dalam mengawasi perkembangan anak-anak orang yang sepatutnya menjadi tempat pertama dan terakhir dalam kehidupan mereka adalah ibu dan ayah," katanya.
Beliau berkata, bayi terbuang termasuk sebagai kanak-kanak yang perlu diberikan perlindungan dan penyelengaraan.
Selain bertanggungjawab melindungi, mereka juga ada hak untuk diserahkan kepada keluarga angkat selepas melalui beberapa proses perundangan.
Selain itu, ibu kepada bayi yang dilahirkan juga ada hak untuk mereka dilindungi dan mendapat rawatan perubatan yang selayaknya. Ramai antara mereka yang terlibat dalam masalah ini adalah di kalangan kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun," katanya.
- Siti Aishah Yussof
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: