Polis cari tiga lelaki
Tiga individu yang dicari polis ialah (dari kiri) Kamarozaman Mohd Nong, Lan Chaq dan Mamat Cina untuk bantu siasatan kes curi bateri pencawang di Marang.

MARANG – Polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan tiga individu berumur 28 hingga 41 tahun, bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian bateri pencawang komunikasi yang berlaku sekitar daerah berkenaan, sejak Ogos tahun lalu.

Tiga individu terbabit adalah Kamarozaman Mohd Nong, 40, yang beralamat dari Kampung Rawai, Jalan Alor Limbat dan Mohd Rizal Ismadi Ismail, 30, atau juga dikenal dengan panggilan Lan Chaq beralamat dari Kampung Kubang Palas, Bukit Payung.

Manakala seorang lagi individu yang diminta tampil bagi membantu siasatan adalah Muhammad Fairuz Embong atau lebih dikenal dengan nama panggilan Mamat Cina, berumur 28 tahun yang beralamat dari Kampung Rawai, di sini.

Terdahulu, polis percaya dapat menumpaskan kumpulan pencuri bateri pencawang komunikasi sekitar daerah ini yang berselindung di sebalik kenderaan mewah berikutan tertangkapnya tiga individu dalam dua serbuan berasingan, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kegiatan jenayah itu terbongkar setelah polis menyerbu sebuah rumah dan menahan seorang lelaki berumur 36 tahun di Taman Tapai Indah, 14 Ogos lalu kira-kira jam 1.30 pagi.

Katanya hasil siasatan, suspek yang pernah bekerja sebagai pekerja servis pencawang telekomunikasi itu membawa polis ke sebuah rumah yang turut dijadikan tempat menjual barang lusuh tidak berlesen di Kampung Tanjung Kedai Buluh, kira-kira jam 4.45 petang.

Polis turut merampas sebuah kenderaan mewah dan sebuah lori yang digunakan untuk menjalankan kegiatan itu termasuk dua suspek dalam serbuan kedua yang dilakukan.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek terbabit pihaknya percaya dapat menyelesaikan 12 kes berhubung kecurian bateri pencawang komunikasi ini dan bateri yang dicuri adalah milik syarikat komunikasi Celcom, Maxis dan Digi di daerah ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga individu terbabit boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Asisten Superintendan Mohd Adli Mat Daud menerusi talian Ibu Pejabat Polis daerah, 09618222 atau balai polis berdekatan.