Thursday, August 30, 2012

Untuk pencinta jenama asli

RUANG pakaian dibahagikan mengikut kategori, kanak-kanak, lelaki dan wanita.

MENDAPATKAN sesuatu yang berjenama lagi luar biasa bukanlah sukar lagi di The Gallery yang terletak di Ipoh, Perak.

Butik yang terletak di rumah banglo setingkat itu menawarkan pakaian seperti baju, seluar, kasut, beg dan sebagainya untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak yang berjenama terkenal.

Diilhamkan oleh dua sahabat, Ziman Aziz dan Jazmi Abdul Karim, butik konsep banglo itu mempunyai moto sendiri dengan singkatan BRO - branded, rare, original (berjenama, susah dijumpai dan asli).

Ujar mereka, butik itu istimewanya khusus untuk warga Ipoh dan warga Perak amnya untuk sama-sama memiliki pakaian berjenama dengan harga mampu milik berbanding dengan harga di butik yang mahal dan sukar untuk dimiliki oleh semua orang.

“Terdapat pelbagai jenama terkenal serta sesetengahnya jarang ditemui yang kami tawarkan seperti Ralph Lauren, Evisu, Levis, Replay, La Martina, Paul & Shark, Clarks, Quicksilver, Hurley, Hackett, Timberland, AX, Guess, Superdry, Calvin Klein, Brooks Brothers, Tommy Hilfiger Denim, Bally, Mark & Spencer dan banyak lagi.

“Konsep The Gallery ini ditentukan oleh kami berdua dan isteri masing-masing. Boleh dikatakan The Gallery merupakan satu-satunya butik yang menawarkan pakaian berjenama dengan harga mampu milik yang terdapat di Ipoh ini yang berkonsepkan rumah.

“Selain itu , konsep santai dan selesa adalah keutamaan kami di mana ruang rumah dan bilik-bilik dijadikan seksyen-seksyen tertentu seperti seksyen lelaki, wanita, kanak-kanak dan t-shirt," ujar Ziman yang ditemui di banglo butiknya yang terletak di Ipoh Garden, Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Menurut Ziman, kriteria penggemar barangan asli itu memang pelbagai.

Ada yang hanya tertumpu kepada sesuatu jenama sahaja, ada yang tidak kisah jenama apa tapi yang penting asli dan ada pula yang mahukan keunikan sesuatu barangan contohnya yang mahukan edisi terhad.

“Namun begitu kami cuba untuk menawarkan setiap kemahuan para pelanggan kami berdasarkan apa yang termampu kami tawarkan," jelasnya.

Segalanya bermula dengan minat dan sekadar memenuhi masa terluang.

Minat berniaga

Ziman yang memang minat berniaga mula menjual secara langsung seperti dari rumah ke rumah, pejabat ke pejabat dan secara online (blog The Gallery).

“Pada masa itu, pelanggan adalah terdiri dari rakan-rakan, jiran tetangga dan saudara mara sahaja. Lama kelamaan perniagaan semakin berkembang dan stok semakin bertambah. Terlintas difikiran untuk membuka butik seperti sekarang.

“Setelah mengumpul pengalaman bekerja di Kuala Lumpur selama bertahun-tahun akhirnya pada Disember 2010 saya berpindah semula ke Ipoh dan bertemu semula dengan Jazmi yang merupakan rakan sekolah dahulu.

“Walaupun masing-masing mempunyai perniagaan sendiri, disebabkan minat terhadap pakaian berjenama kami sepakat untuk bekerjasama membuka butik pada Jun tahun lalu.

“Lokasi ini dipilih adalah kerana rumah itu sendiri menepati konsep yang mahu kami sampaikan kepada semua.

“Di tambah pula dengan lokasi yang amat sesuai dimana ia merupakan jalan utama di Ipoh Garden ini yang mempunyai jumlah trafik yang tinggi," jelasnya.

Ujar Ziman, sejak dibuka tahun lalu, pelanggan The Gallery bukan sahaja dari sekitar Perak malah ada yang sanggup berulang dari jauh iaitu dari Seremban, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan dan lain-lain tempat apabila stok baru sampai.

Malah ujarnya, berbelanja hingga ribuan ringgit bukanlah perkara yang luar biasa di sini.

“Ada juga pelanggan yang meninggalkan nombor telefon kepada kami supaya dihubungi jika ada stok yang baru. Paling menarik sekali ialah apabila ada pelanggan yang sama datang membeli di sini setiap hari dan sekarang sudah menjadi seperti keluarga pula," ujar Ziman yang mengakui turut dikunjungi ramai selebriti.

Maklumat lanjut hubungi 013-345 8585 ( Ziman) atau layari www.facebook.com/TheGallery151.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: