Thursday, August 30, 2012

Memantau keadaan jentera dari jauh



KONTRAKTOR di India yang menggunakan sistem telematik CareTrack Volvo sejak ia dilancarkan pada Julai 2011 di negara itu mula mendapat manfaat daripadanya selepas beberapa bulan.

Pengarah Perniagaan, Volvo Construction Equipment Malaysia, Frederic Ruesche, 41, berkata, kelebihannya amat menakjubkan apabila mereka dapat menjimatkan minyak hampir dua liter setiap jam bagi sebuah mesin berat.

"Pengawasan CareTrack telah membuatkan kerja mereka menjadi lebih mudah," katanya yang berasal dari Perancis.

Selain itu, Pengurus Perkhidmatan Pemasaran Volvo untuk Asia Tenggara, Pius Neo, 36, turut berkongsi cerita mengenai pengguna sistem tersebut di Indonesia.

"Salah sebuah syarikat di sana kerap mengalami kehilangan minyak petrol yang menyebabkan kos melambung tinggi.

"Dengan CareTrack, akhirnya pemilik syarikat dapat mengesan berlaku kecurian minyak dalam kalangan pekerja mereka," kata Pius ketika ditemui di Shah Alam, Selangor.

CareTrack merupakan sistem telematik tercanggih yang dikeluarkan oleh Peralatan Pembinaan Volvo. Ia boleh menguruskan produktiviti mesin dan memaksimum kebolehsediaan untuk bekerja.

Sistem tersebut menggunakan teknologi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPRS) atau teknologi satelit bagi penghantaran maklumat jentera kepada pusat kawalan CareTrack. Data yang dikendali dalam keadaan selamat dan terkini itu dihubungkan dengan mana-mana peranti kawalan dalam talian.

Lonjak produktiviti

Secara asasnya, penggunaan sistem tersebut dapat menjimatkan minyak petrol dan menawarkan peningkatan produktiviti kerja. Mesin yang menggunakan CareTrack didapati antara yang paling berkos rendah dalam unit tan.


TEKNOLOGI GSM, satelit dan GPRS dapat mengesan kedudukan dan perilaku jentera milik kontraktor walaupun berada beribu-ribu kilometer dari ibu pejabat.


CareTrack mula dilancarkan pada tahun 2007 di Eropah dan Amerika Utara. Pada September 2010 pula ia diperkenalkan di Indonesia, diikuti India (Julai 2011) dan Singapura. Pada tahun ini, sistem telematik Volvo itu dilancarkan di Filipina, Thailand dan Malaysia.

Setakat ini, sudah hampir 40,000 mesin keluaran Volvo yang menggunakan CareTrack di negara-negara yang dilancarkan.

Menurut Frederic, sistem tersebut diperkenalkan secara berperingkat disebabkan ia melibatkan permohonan lesen bagi mendapatkan kebenaran selain kaedah pengurusan yang berbeza-beza bergantung pada sesebuah negara.

Sistem telematik CareTrack menggunakan teknologi GPRS untuk mengesan kedudukan secara tepat sesebuah mesin.

Melalui sistem berkenaan, maklumat kedudukan mesin atau jentera boleh dipantau secara terkini manakala data-data lain dihantar sekali setiap 24 jam.

"Jika GPRS tidak berfungsi, Sistem Komunikasi Global (GSM) menjadi alternatif dalam menyampaikan data dari lokasi mesin ke peranti pemilik mesin," kata Pius selepas majlis pelancaran CareTrack pada bulan Jun lalu.

Di Malaysia, pembekal sistem telekomunikasi DiGi digunakan untuk GSM yang juga rakan kongsi global bagi Volvo.

Dari segi kos, GSM lebih murah berbanding penggunaan teknologi satelit. Bagi satelit, perkhidmatan syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Orbcomm, digunakan untuk menghantar dan memantau data apabila perkhidmatan GSM tiada. Liputan satelit lebih menyeluruh berbanding GSM.

Kesemua data yang dipantau sama ada oleh GPRS, GSM atau satelit yang diterima dari mesin akan dihantar ke pusat pangkalan data untuk diproses.

Kemudian, data-data itu dihantar ke pihak pelanggan dengan talian internet yang dijamin keselamatannya melalui portal CareTrack yang beroperasi 24 jam.

Operasi kerja

Antara data yang dipancarkan ialah penggunaan minyak petrol (sama ada berlaku penurunan atau tiada perubahan) dan paras baki minyak enjin. Jumlah jam bekerja, jarak pergerakan dan bilangan operasi kerja yang dilakukan turut dapat dikesan menggunakan sistem CareTrack.

Selain itu, data yang turut direkodkan dalam sistem CareTrack ialah tempoh masa operasi kerja yang dijalankan, kelajuan mesin dikendalikan dan perkhidmatan pemberitahuan setiap kali jentera perlu diselenggara.


PELANCARAN CareTrack di Malaysia memang dinanti-nantikan oleh kontraktor di negara ini kerana percaya akan keberkesanannya.


Bagi mencapai misi menjadikan CareTrack sebagai sistem yang boleh mengesan sebarang kerosakan atau kegagalan lebih awal untuk tindakan pembaikan, ia turut menghantar laporan mengenai aktiviti mesin sebagai amaran bagi sebarang kerosakan.

"Melalui pemantauan mesin secara berterusan, CareTrack membolehkan ia menjadi lebih cekap sama seperti kehendak pelanggan.

"Mesin boleh sentiasa bersedia untuk bekerja dalam keadaan yang terbaik," kata Frederic.

Selain itu, para pelanggan boleh mendapatkan kumpulan data mengikut tempoh masa yang dikehendaki bagi menyelidik kecekapan jentera sekali gus dapat menilai prestasi pekerja.

Terdapat dua kaedah pemantauan iaitu data-data yang dihantar ke Pusat Penyelesaian CareTrack untuk diproses sebelum dihantar kepada pelanggan.

Bagaimanapun, jika pihak pelanggan mahu memantau sendiri aktiviti jentera milik mereka, sebuah laman web CareTrack versi pelanggan dibekalkan. Pada masa yang sama, pihak Volvo masih turut memantau.

"Sistem telematik bakal menjadi alat yang mesti dimiliki oleh pelanggan dan kontraktor dalam dunia yang penuh dengan persaingan," ujar Ruesche penuh keyakinan.

Setiap jentera berat yang dikeluarkan selepas pelancaran CareTrack dilengkapi dengan sistem telematik itu manakala mesin-mesin sedia ada boleh dipasang mengikut kehendak pemilik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: