PARAGUANA, Venezuela - Pasukan bomba akhirnya berjaya memadamkan kebakaran dua daripada tiga tangki penyimpanan di loji penapisan minyak terbesar di Venezuela yang sehingga kini telah meragut lebih 48 nyawa.
Pihak berkuasa juga berazam untuk memulakan semula operasinya menjelang akhir minggu ini.
Presiden Venezuela, Hugo Chavez mengumumkan berita mengenai tangki pertama itu melalui mesej pada tweeter miliknya. Sementara kebakaran tangki kedua yang berjaya dipadamkan diberitahu oleh Menteri Tenaga Venezuela, Rafael Ramirez selepas dihubungi oleh Reuters.
Ramirez juga menyatakan tangki-tangki lain tidak lagi berisiko dijilat api kerana ia sama ada kosong atau berisi bahan api yang tidak mudah terbakar.
Loji yang berupaya menghasilkan 645,000 tong minyak sehari itu dikatakan boleh beroperasi semula pada Jumaat. Ketiga-tiga buah tangki yang terbakar dijangka dapat dipadamkan dalam tempoh dua hari.
Isnin lalu, Chavez menyatakan bahawa beliau telah menubuhkan dana berjumlah AS$23 juta (RM71.5 juta) untuk membantu operasi pembersihan dan menggantikan rumah yang musnah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: