PETALING JAYA: Pelakon remaja, Afiq atau nama sebenarnya Muhamad Afiq Muiz Azman Shah sedikit pun tidak terkilan dengan sindiran yang diberikan sesetengah pihak terhadapnya sebagai “artis karpet merah”
Afiq, 20, berkata, walaupun dia sering dilihat muncul di kebanyakan majlis hiburan serta acara-acara melibatkan karpet merah, ia tidak bermakna dia gagal untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang lakonan.
"Walaupun saya sering dilihat kerap muncul untuk majlis-majlis hiburan, ia tidak bererti kerjaya lakonan saya tidak berjalan dengan baik. Sebenarnya banyak tawaran yang saya dapat. Orang sahaja tak tahu.
"Tetapi cakap-cakap sedemikian tidaklah menggores hati saya kerana itu perkara biasa apabila bergelar seorang artis," ujarnya kepada mStar Online.
Afiq berkata, dia tidak kisah jika orang tidak mengetahui mengenai perkembangan kerjaya seninya kerana apa yang penting dia sentiasa mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah.
Dalam pada itu, Afiq menjelaskan dia gembira kerana kerjaya lakonannya semakin bertambah baik walaupun pada mulanya ia agak perlahan.
Malah dia tidak mudah berpuas hati dengan apa yang dilakukan sebaliknya sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki diri dan mutu lakonan.
"Saya bukan sekadar ingin popular tetapi mahu serius dalam bidang lakonan tambahan pula saya masih muda dan banyak lagi ruang untuk saya memperbaiki kelemahan diri," katanya.
Ditanya mengenai tawaran berlakon filem Afiq berkata, dia belum mempunyai ilmu yang cukup untuk muncul di layar perak tetapi meletakkan sasaran sehingga tahun hadapan untuk mengambil cabaran itu.
"Saya belum bersedia untuk berlakon filem walaupun ada mendapat tawaran dan buat masa sekarang saya masih mengutip ilmu dengan berlakon telefilem dan drama bersiri bagi memantapkan mutu lakonan saya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: