Wednesday, August 29, 2012

Carrefour Singapura tutup menjelang hujung tahun


Reuters
SEORANG pelanggan menolak sebuah troli di luar pasar raya Carrefour di Singapura. Carrefour akan menamatkan operasinya di republik itu pada akhir 2012.


SINGAPURA - Carrefour semalam menyatakan bahawa ia akan menamatkan operasinya di sini apabila kedua-dua cawangan sedia ada ditutup menjelang penghujung tahun ini.

Gergasi peruncitan dari Perancis itu merupakan syarikat terawal yang memperkenalkan konsep pasar raya besar di Singapura menerusi pembukaan cawangan pertamanya pada tahun 1997.

Carrefour mengakui pihaknya sukar untuk menembusi pasaran Singapura yang mempunyai 5.2 juta orang penduduk kerana pesaing lain lebih kompetitif. Mereka juga mempunyai rangkaian cawangan yang luas dan terletak berhampiran dengan kawasan perumahan awam.

"Carrefour Singapura mengumumkan keputusan untuk menutup cawangan di Suntec dan Plaza Singapura sebelum akhir 2012 memandangkan perspektif pertumbuhan tidak menunjukkan pasar raya ini mampu menjadi peneraju pasaran dalam jangka sederhana dan panjang," kata peruncit itu dalam satu kenyataan.

Menurut seorang eksekutif kanan sebuah syarikat elektronik Asia yang merupakan antara pembekal kepada Carrefour, keputusan untuk menarik diri dari negara ini bukan sesuatu yang mengejutkan.

"Terdapat banyak cakap (mengenai penutupan) daripada kakitangan syarikat itu. Mereka juga cuba menghabiskan stok barangan sejak dua bulan lalu," katanya.

Carrefour yang merupakan peruncit kedua terbesar dunia selepas kumpulan Walmart dari Amerika Syarikat (AS), mencatatkan penurunan keuntungan sebanyak 14.3 peratus kepada AS$463 juta (RM1.446 bilion) pada tahun 2011 berikutan kelembapan ekonomi dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: