Thursday, August 30, 2012

Kepentingan jaga kesihatan

Menjalani pemeriksaan kesihatan penting bagi memastikan kesihatan fizikal dalam keadaan baik agar ibadah Haji dapat dilaksanakan dengan sempurna. - Gambar hiasan

MELALUI pengalaman lepas, ramai bakal haji terlupa tentang pentingnya 'kesihatan' sebagai salah satu syarat menunaikan haji. Mereka terlalu fokus kepada ibadah hingga terlupa salah satu daripada syarat wajib haji adalah berkuasa, di mana sihat tubuh badan terkandung didalamnya. Rujuk Ali Imran: 97.

Kemampuan itu bukan hanya dari sudut perbelanjaan tambang pergi balik dan untuk keluarga yang ditinggalkan tetapi juga dari segi kesihatan tubuh yang merangkumi komponen fizikal dan mental.

Salah satu cabaran untuk mengekalkan kesihatan yang baik ialah cuaca di tanah suci yang suhu pada siang hari boleh mencecah 43 darjah Celsius. Ini boleh memberi kesan kepada tubuh.

Dijangkakan akan terdapatnya kes-kes keletihan akibat panas (heat exhaustion) disebabkan pendedahan yang lama kepada cuaca panas, penggunaan tenaga yang lebih, kekurangan air dan kandungan garam serta mineral yang akan menyebabkan fungsi dan sistem tubuh terganggu.

Antara tanda-tanda keletihan panas adalah pening kepala, sesak nafas, rasa loya, pengsan, suhu badan naik sehingga 41 darjah Celsius, kulit dan lidah kering.

Sekiranya keadaan ini tidak dirawat, ia akan menjadi teruk hingga ke tahap kejutan panas (heat stroke) dan pesakit boleh pengsan dan mendapat sawan.

Untuk mengelakkannnya, bakal haji diingatkan selalu minum air. Jangan berjemur di tengah panas terlalu lama, pakai baju yang bersesuaian dan elakkan terdedah kepada pancaran matahari. Selalu bawa tuala tangan yang basah untuk melembapkan kepala dan muka.

Dapatkan rawatan segera sekiranya terdapat tanda-tanda penyakit seperti yang disebutkan.

Mereka perlu memahami persekitaran di sana berbeza dengan di negara kita. Ia berdebu dan kering berbanding di Malaysia.

Perbezaan paling ketara adalah dari segi perubahan cuaca yang sangat ekstrem antara malam dan siang. Suhu pada waktu siang melebihi 35 darjah Celsius, manakala pada waktu malam adalah 18 darjah Celsius.

Perubahan suhu ekstrem dan keadaan berdebu ini mendedahkan bakal haji kepada jangkitan saluran pernafasan terutama kepada jemaah yang mempunyai penyakit saluran pernafasan dan yang merokok.

Kekuatan fizikal juga diperlukan dalam melengkapkan ibadah haji seperti untuk melakukan saie, tawaf dan melontar. Jemaah terpaksa berjalan beberapa kilometer, bermalam di Arafah, Mina dan Mudzalifah dengan kelengkapan tempat tidur dan tandas yang paling asas serta perlu berjalan untuk melontar Jamrah selama empat hari berturut-turut. Mereka juga perlu berulang-alik ke masjid di mana jarak tempat penginapannya adalah antara 50 meter ke 700 meter.

Vaksinasi

Vaksinasi atau pelalian boleh membantu menyediakan ketahanan badan terhadap penyakit. Untuk bakal haji, pihak haji kerajaan Arab Saudi telah mewajibkan vaksinasi meninggococcal ACYW. Mereka akan diminta mengemukakan di setiap pintu masuk ke Tanah Suci rekod suntikan yang sah iaitu tidak kurang daripada 10 hari dan tidak melebihi tiga tahun. Tanpanya, jemaah tidak dibenarkan masuk.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi menasihati agar bakal haji mengambil vaksinasi pilihan iaitu Seosanal influenza dan pneumococcal terutama kepada mereka yang mengidap penyakit kronik seperti penyakit kencing manis, jantung dan mereka yang mempunyai penyakit saluran pernafasan.

Penyimpanan ubat

Semua ubat-ubatan kegunaan sendiri yang dibawa perlu disimpan dengan cara yang betul bagi menjamin keberkesanannya.

Masukkan ubat yang hendak dibawa ke dalam hand luggage. Jangan simpan dalam bagasi, terutama ubat-ubat kecemasan seperti ubat jantung, ubat yang di letak di bawah lidah, ubat lelah/inhaler dan ubat yang terpaksa dimakan hari-hari contohnya ubat darah tinggi dan kencing manis.

Bagi pesakit yang memerlukan suntikan insulin, dapatkan bekalan yang secukupnya daripada farmasi.

Bermula dari rumah suhu bagi penyimpanan insulin mesti dikawal. Simpan bekalan insulin dalam peti sejuk sehingga ia perlu dibuka. Bekalan insulin yang belum dibuka perlu dimasukkan ke dalam bekas kedap udara serta dimasukkan beberapa ketulan ice relacement.

Serahkan bekalan insulin kepada anak kapal untuk disimpan dalam pesawat. Jangan simpan insulin yang belum dibuka dalam bagasi. Sebaik tiba di Tanah Suci, simpan segera bekalan insulin ke dalam peti sejuk di bilik penginapan.

Setelah dibuka, simpan insulin di suhu bilik dan boleh diguna sehingga satu bulan. Jauhi dari suhu melampau (terlalu panas) dan jangan disejukbekukan. Buang insulin yang telah berubah warna.

Jatuh dan patah

Kemalangan ini kerap berlaku pada jemaah haji terutama bagi jemaah yang telah berusia. Kemalangan biasa berlaku di tangga bergerak yang terdapat di hotel, masjid dan tempat melontar. Dinasihatkan agar jangan pakai pakaian yang terlalu labuh, gunakan kasut dengan tapak yang tidak licin, gunakan tongkat, walking frame atau alat bantuan lain untuk sokongan.

Penularan influenza

Kita semua maklum bahawa pencegahan lebih penting daripada rawatan. Amalkan etika ketika batuk iaitu menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin dengan tisu.

Kemudian basuh kedua-dua tangan dengan air dan sabun atau gunakan pembersih tangan beralkohol. Tisu yang telah diguna hendaklah dibuang ke dalam tong sampah. Bagi yang mempunyai gejala selesema, sila gunakan topeng muka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: