KELIHATAN seorang gadis cantik bernama Xu, 30, mengatur langkah masuk ke dalam sebuah kelab bujang, Garden of Joy dalam usaha untuk menukar statusnya sebagai 'tidak laku'.
Sudah beberapa tahun Xu tidak mengunjungi kelab bujang berkenaan, tetapi disebabkan tekanan yang datang daripada pelbagai pihak kerana dirinya masih solo maka dia kembali ke situ.
"Saya harap dapat menemui calon suami di sini," jelas Xu yang duduk di sebuah meja mahjong sambil menunggu janji temunya pada petang itu yang diatur oleh pihak kelab tersebut berdasarkan profil masing-masing.
"Saya hanya inginkan seseorang yang sudi berkongsi suka dan duka, tetapi lelaki itu perlulah mempunyai sumber kewangan yang kukuh daripada saya," jelas Xu yang enggan dilabel sheng nu atau 'tidak laku'.
Di China istilah sheng nu merujuk kepada situasi ratusan wanita tempatan yang tinggal di bandar, berpendidikan dan kewangan stabil, namun masih membujang.
Istilah unik itu khas buat wanita. Dalam kamus rasmi China, terma tersebut bermaksud wanita bujang yang berusia 27 tahun ke atas.
Sementara itu, Summer, 26, teruja kerana buat pertama kalinya mengunjungi kelab Garden of Joy. Dia berusaha bertemu jejaka yang sesuai sebelum usianya menjangkau 27 tahun.
"Tiada apa di dunia ini yang boleh menyebabkan saya menjadi sheng nu. Biasanya lelaki tidak suka kepada wanita yang berusia 30 tahun ke atas," keluh Summer apabila mendapati ramai lelaki di China yang semakin bijak menjaga penampilan diri.
Fenomena sosial
Satu kajian yang dilakukan secara meluas oleh kerajaan pada tahun 2010 oleh Persekutuan Wanita China membuktikan fenomena sosial baharu itu.
Hasil kajian mendapati daripada 1.3 bilion populasi rakyat di China, 180 juta merupakan lelaki dan wanita bujang. Sebanyak 92 peratus lelaki percaya bahawa wanita perlu mendirikan rumah tangga sebelum mencecah usia 27 tahun.
Bertitik tolak daripada kajian itu banyak produksi filem dan penerbitan buku membincangkan subjek berkenaan. Ini termasuklah majalah wanita yang memaparkan topik perbincangan mengenai individu masih bujang.
"Salah satu punca individu membujang adalah disebabkan golongan muda pada hari ini terlalu sibuk bekerja selain berpeluang menerokai peluang baharu serta tempat-tempat menarik di luar sana. Bagaimanapun, secara tradisional, masyarakat China percaya mereka harus memastikan setiap individu perlu bersedia menghadapi alam perkahwinan," jelas pakar sosiologi, Wu Di.
"Saya datang ke kelab ini bagi menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya," tambah Xu.
Kelab Garden of Joy memaparkan slogan istimewa untuk menarik minat ahlinya iaitu 'Adakah anda solo? Fikirkan perasaan ibu dan ayah anda. Jangan biarkan mereka bimbang.'
Kelab bujang yang dibuka pada tahun 2003 itu turut mempunyai dua cawangan di Beijing dan kini mempunyai lebih daripada 12,000 ahli.
Disebabkan sebelum ini Garden of Joy gagal menarik minat dan kunjungan wanita, maka kelab bujang tersebut mula menawarkan pendekatan mesra di aras bawah pusat perniagaan mewah. Di situ, golongan wanita bujang berpeluang berjumpa dengan bakal suami sambil melakukan 80 aktiviti berbeza.
Terdapat juga ruang kecil yang membolehkan pasangan duduk bersama dalam suasana privasi untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.
Hadapi tekanan
Shelly, 34, yang baru saja pulang dari Amerika Syarikat (AS) merupakan konsultan perhubungan awam dan berpendidikan tinggi.
Namun begitu sejak kembali ke China, dia sentiasa mengelakkan diri daripada bertemu teman rapat dan saudara-mara yang begitu galak mencari jodoh untuknya.
"Hidup saya tertekan. Saya dapat merasakan betapa ibu saya sedih melihat sahabatnya sudah memiliki cucu," katanya.
Disebabkan masih gagal menemui pasangan hidup yang ideal dan berpotensi maka Shelly kini bersedia untuk kembali ke AS bagi menyambung pengajian di peringkat sarjana. Keputusan itu dilakukan untuk menjauhkan diri daripada sahabat dan ibu bapa yang sentiasa bertanyakan tentang perkahwinan.
"Saya fikir saya akan kembali ke China apabila menginjak usia 40 tahun," ujar Shelly.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: