Thursday, August 30, 2012

Memahami sistem ketahanan anak

Ibu bapa perlu sama-sama memikul tanggungjawab untuk memahami sistem ketahanan dan alahan anak-anak mereka. - Gambar hiasan

PEMANTAUAN dan pengetahuan yang baik kaum ibu terhadap sistem ketahanan badan bayi penting bagi memastikan kesihatan dan tumbesaran anak-anak dalam tempoh 1500 hari pertama mereka.

Menyedari pentingnya kesedaran dan pengetahuan mereka terhadap sistem ketahanan (imun) kanak-kanak, Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia melancarkan kaji selidik imunisasi kanak-kanak kebangsaan yang pertama seumpamanya dengan bantuan geran pendidikan oleh Nestle.

Kaji selidik tersebut disasarkan buat 10,000 wanita di Malaysia untuk mengumpul maklumat mengenai kesedaran dan pengetahuan mereka terhadap sistem ketahanan kanak-kanak.

Maklumat yang dikumpul akan dianalisis oleh pihak ketiga untuk penilaian tahap kesedaran ibu-ibu terhadap sistem ketahanan dan hal-hal berkaitan khasiat pemakanan.

Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI)I, Dr. Amir Hamzah Abdul Latiff berkata, mereka komited untuk berkongsi maklumat tentang keputusan keseluruhan kaji selidik tersebut dengan orang ramai di samping menerbitkannya di jurnal-jurnal perubatan.

“Sebenarnya, ibu-ibu di Malaysia sangat memerlukan medium di mana mereka boleh mendapatkan maklumat penting tentang sistem ketahanan kanak-kanak.

“Apatah lagi, sistem itu di kalangan kanak-kanak masih belum matang dan tidak sekuat orang dewasa bilamana ia perlu melawan jangkitan yang kerap berlaku.

“Walaupun normal bagi kanak-kanak untuk dijangkiti batuk atau selesema, ia boleh dikurangkan atau dielakkan sama sekali jika ibu-ibu tahu bagaimana melakukannya," katanya.

Tambahnya lagi, para ibu bapa juga sudah mula aktif memikul tanggungjawab untuk memahami sistem ketahanan dan alahan anak-anak mereka.

“Kami berharap dapat menggunakan kaji selidik tersebut sebagai langkah pertama untuk memberikan khidmat pesakit dan Kualiti Hidup (QOL) yang lebih baik di samping dapat terus berkomunikasi dengan kaum ibu di Malaysia," katanya.

Ujarnya, MSAI juga akan membentangkan hasil kaji selidik tersebut semasa persidangan saintifik tahunannya pada tahun hadapan bagi membolehkan pakar runding bersama-sama mengambil bahagian dalam meningkatkan pengetahuan kaum ibu tentang langkah terbaik untuk memperkuat sistem ketahanan anak-anak mereka.

Sementara itu, Pengurus Perniagaan Negara dari Nestle Nutrition, Chandan Ghosh berkata, mereka berasa sangat bertuah dapat bekerjasama dengan MSAI dalam usaha mengumpul dan memberi maklumat kepada orang ramai di luar sana.

“ Diharapkan cara yang dilakukan akan memberi faedah kepada orang ramai, persatuan-persatuan perubatan dan badan kerajaan dalam memahami lebih mendalam isu berkaitan sistem ketahanan kanak-kanak di Malaysia," katanya.

Inisiatif dengan kerjasama Nestle ini akan dijalankan di pusat-pusat membeli-belah, ekspo bayi dan kanak-kanak, kedai-kedai runcit dan forum awam di seluruh negara mulai Julai sehingga Oktober 2012.

Untuk sebarang maklumat lanjut tentang bagaimana untuk menyertai kaji selidik ini, sila layari www.weaning.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: