Thursday, August 30, 2012

Bingkisan rumah terbuka Aidilfitri

BISKUT raya MAC yang dijual pada harga berpatutan.


KEHARUMAN biskut cip coklat mula menusuk hidung apabila melangkah ke dalam studio Mad About Cake (MAC) yang berpangkalan di SS2, Petaling Jaya, Selangor. Sewaktu dikunjungi Kosmo!, kira-kira 10 petugas sedang sibuk menguli, membentuk dan membakar biskut cip coklat.

Selepas siap proses tersebut dua orang staf MAC dengan pantas mengisi biskut di dalam balang sebelum menunggu proses gubahan hamper.

“Inilah keistimewaan hamper keluaran MAC. Kesemua gubahan hamper mengandungi antara dua hingga lima jenis kuih raya produk kami sendiri. Dengan cara ini, kami dapat menjaga dan mengekalkan kualiti biskut raya MAC untuk kepuasan pembeli.

“Antaranya adalah biskut mentega yang berbentuk tembikai, biskut oat kismis, biskut empeng kastard dan biskut suji yang menggunakan resipi warisan keluarga.

“Namun, bagi menyemarakkan mood hari lebaran, kami turut menyelitkan hadiah tambahan seperti sejadah, tasbih dan lilin aroma terapi yang berwarna-warni,” jelas pengasas MAC, Wan Noor Zamran, 41, sambil memerhatikan rakan kongsinya, Zam Akmal Abd. Halim yang ralit mengubah hamper MAC dalam pelbagai bentuk dan saiz.

Justeru, bagi individu yang tidak berkesempatan menghasilkan cenderamata sendiri, usah bimbang kerana hamper koleksi MAC dapat membantu. Biskut raya jenama itu bukan saja dibungkus cantik dalam bermacam-macam kotak dan bakul malah rasa serta tekstur kuih MAC turut tidak mengecewakan.


SALAH satu hamper buatan Karyaneka yang menggunakan bakul rotan.


Tambah menarik, bingkisan Aidilfitri tersebut sesuai dihadiahkan kepada sahabat dan saudara-mara sewaktu aktiviti kunjung-mengunjung mahupun menghadiri majlis rumah terbuka.

“Dari segi saiz dan gubahan hamper pula ia bergantung pada bajet pelanggan itu sendiri.

“Lagipun di MAC, kami menawarkan kepelbagaian hamper raya yang dijual pada harga yang berpatutan iaitu bermula RM100 ke atas,” jelas Wan Noor mengenai bisnes hamper raya MAC yang mencecah usia dua tahun.

Bermula dengan menjual biskut dan kek sejak lima tahun lalu, Wan Noor akhirnya turut mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan gubahan hamper dan cenderamata secara besar-besaran. Apatah lagi permintaan hamper cukup tinggi apabila tibanya musim perayaan dan musim perkahwinan.

Hamper berasaskan songket

Sementara itu, butik Karyaneka, Kompleks Kraf, Kuala Lumpur juga menyediakan rangkaian hamper pilihan cenderamata Aidilfitri 2012. Dihasilkan daripada produk kraf, hamper yang dihadiahkan kepada pelanggan korporat, rakan-rakan dan ahli keluarga pastinya menyuntik keunikan sepanjang meraikan hari lebaran,

Menurut Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan Karyaneka Sdn. Bhd., Norizmah Mustaffa, kelainan hamper Karyaneka terletak pada penggunaan songket sebagai bahan utama.


SELAIN biskut raya, hamper keluaran MAC turut mengandungi hadiah sampingan seperti sejadah dan tasbih.


“Pada tahun ini, Karyaneka memperkenalkan hamper yang berasaskan kain songket. Tujuan utama kami adalah untuk memartabatkan fabrik warisan dalam masyarakat moden kini.

“Secara tidak langsung, kami memberitahu orang ramai bahawa songket bukan sekadar kain yang boleh dijadikan busana raya malah tekstil tenunan ini juga ideal untuk menghiasi hamper Aildilfitri 2012.

“Misalnya, pengubah mengubah kelopak bunga dengan menggunakan kain songket rona biru, hijau, kuning ataupun ungu,” terang Norizmah yang turut memberitahu bunga songket itu akan diletakkan di tangkai bakul atau di bahagian depan kotak hamper.

Selain songket hamper Aidilfitri 2012 Karyaneka juga menggunakan produk kraf yang lain seperti bakul rotan pelbagai saiz dan warna, kotak bermotifkan fabrik batik serta kotak yang dihiasi anyaman mengkuang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: