|
SEMUA peminat muzik gitar sebenarnya ternanti-nati konsert yang julung-julung kali menggabungkan empat gitaris tersohor negara iaitu Man Kidal, Hillary Ang, Kid Search dan Joe Wings di pusat hiburan KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 30 September ini.
Konsert yang dinamakan G4 itu bakal berlangsung selepas sambutan Aidilfitri turut membuatkan keempat-empat mereka berdebar-debar untuk mengetahui maklum balas peminat mereka nanti.
Sepanjang bulan Ramadan lalu dan awal Syawal ini mereka hanya bercuti beberapa hari saya sebelum menumpukan kembali strategi untuk membuatkan konsert hampir dua jam itu menjadi momen yang tidak dapat dilupakan oleh peminat gitar.
Bagi Kid, walaupun dia dan ketiga-tiga Joe, Hillary dan Man sudah mengenali antara satu sama lain hampir 25 tahun, namun mereka tidak pernah membuat persembahan bersama-sama. Jadi dengan platform yang diberikan oleh RK Polaris selaku penganjur konsert itu dapat memberi nilai eksklusif kepada empat gitaris ini dan peminat mereka.
Pemain gitar tersohor kumpulan Search ini berkata, memandangkan ramai golongan muda yang berbakat dalam bermain gitar, persembahan mereka dalam konsert G4 nanti adalah satu platform yang baik untuk mereka ketahui selok-belok bermain alat muzik itu.
“Saya pasti terdapat jumlah besar komuniti yang berminat terhadap instrumen gitar ini, jadi inilah yang boleh saya dan G4 berikan untuk mereka lebih kenali persembahan gitar ini,” ujarnya.
Tambah Kid, konsert itu juga untuk memberi kepuasan kepada dirinya sendiri dan mahu penonton tersentuh dengan hasil persembahan mereka serta berjanji akan memberi kesungguhan yang maksimum nanti.
Sementara menurut Joe, persiapan persembahannya secara solo selama hampir 30 minit sudahpun dirancang dengan teliti tetapi persembahan berkumpulan bersama empat lagi rakannya itu masih dalam perbincangan. Dia yang mahukan yang terbaik untuk konsert itu nanti berharap menerima respons baik daripada peminat gitar yang masih belum melihat persembahan solonya tanpa mewakili kumpulan Wings.
“Apa yang pasti akan ada nyanyian tetapi sama ada saya yang akan menyanyi atau ada penyanyi jemputan itu adalah kejutan saya kepada peminat nanti,” ujarnya yang berharap konsertnya nanti akan diterima peminat tegar gitar.
Walau bagaimanapun, persembahan berkumpulan masih belum diputuskan dan masih dalam perbincangan.
“Itu mungkin diputuskan selepas hari raya, untuk persembahan solo saya juga, saya akan mempersembahkan petikan gitar itu daripada lagu yang sudah biasa didengari pendengar tetapi bukan dari lagu Wings,” ujarnya.
Keterujaan
Dalam pada itu kata Man Kidal pula, dia sesungguhnya teruja untuk menanti respons peminatnya nanti dan berharap penonton tidak membandingkan dengan pemain gitar dari luar negara.
Jika berjaya nanti, Man Kidal tidak menolak kemungkinan mengadakan konsert mini bergerak untuk peminat gitar di seluruh negara.
“Sudah tentu kami semua mahu konsert ini berjaya, kami yang akan buat percubaan pertama adakan konsert seumpama ini, ia sudah berada di landasan untuk mencapai visi bagi pemain gitar lain,” ujarnya ketika ditemui pada sesi fotografi di studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dia berjanji akan memberikan persembahan terbaik yang akan memberikan impak kepada peminatnya apabila membuat persembahan solo selama hampir
30 minit nanti.
Bekas gitaris kumpulan Search dan Cromok, Hillary Ang pula mempunyai persepsi tersendiri mengenai debaran untuk terbabit dengan konsert tersebut.
Katanya, persiapan dan latihan sudah diadakan tetapi dia masih belum memutuskan sebarang keputusan kerana masih menunggu maklum balas penerbit konsert tersebut.
“Nanti lepas hari raya mungkin semua akan diputuskan secara muktamad, apa-apa pun harapan saya konsert ini akan berjaya,” ujarnya yang sedang sibuk menyiapkan susunan lagu untuk album terbaharu kumpulan Wings.
Sambutan raya
Sempena Aidilfitri ini, kumpulan G4 tetap membuat persiapan menyambut hari raya tetapi secara sederhana sahaja.
Kid dan keluarga yang pertama kali menyambut hari raya di Kuala Lumpur akan berusaha membuat sesuatu kepada dua anaknya, Fazdeanda, 19, dan Aaqil Naguidean, 8, supaya mereka tidak berasa kebosanan nanti.
“Biasanya kami pulang ke Ipoh, Perak tetapi disebabkan sekarang ibu mertua yang sakit tinggal bersama, rancangan untuk pulang ke kampung terpaksa ditangguhkan, jadi saya kena buat sesuatu yang menarik untuk dua anak saya supaya mereka gembira beraya di Kuala Lumpur,” ujarnya yang bercadang untuk membawa kedua-dua anaknya ke Berjaya Times Square.
Jika menyambut hari raya di Kuala Lumpur agak asing bagi Kid, Joe pula sudah hampir 10 tahun menyambut Aidilfitri di ibu kota.
“Pagi raya mesti ada ketupat, rendang dan lontong, semua itu isteri saya dan mak mertua yang masak,” ujarnya yang beruntung kerana keluarga mentuanya tinggal berdekatan kawasana rumahnya.
Ujarnya, kebiasaan keluarganya akan bertukar-tukar juadah dengan keluarga mentua manakala pada hari raya kedua anak-anaknya akan ke Singapura untuk beraya di rumah ibu saudara mereka.
Bagi Man Kidal pula, dia pulang ke Mersing, Johor selama empat hari dan hidangan wajib hari raya baginya adalah lontong dan rendang.
“Kami beraya sederhana sahaja, dapat balik kampung, makan lontong sudah cukup,” ujarnya.
Berlainan dengan Hillary disebabkan bukan beragama Islam, ketika hari raya dia lebih suka menonton televisyen dan berehat di rumah sahaja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: