Thursday, August 30, 2012

Saya tak dicemuh - Norish Karman

NORISH sedang mendukung Muhammad Haq Luftie Alexander di samping tiga anaknya yang lain (dari kiri), Nur Hanyz Amanda, Muhd. Haqiem Armany dan Muhd. Hardy Amieran (depan).


SELEPAS berdiam diri selama lebih kurang setahun, Norish Karman kini telah berani berkongsi kegembiraannya dengan media berkaitan anak keempatnya, Muhammad Haq Lutfie Alexander yang dilahirkan tanggal 24 September 2011 biarpun pada hakikatnya dia masih mengunci rapi persoalan siapa bapa kepada anak kecilnya itu.

Sebelum ini, Norish menjadi mangsa gosip liar pihak yang mendakwa dia mempunyai anak luar nikah sedangkan dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan tentang hal tersebut.

Bagi pelakon berusia 38 tahun itu, hidupnya kini bahagia bersama Muhammad Haq serta tiga lagi anaknya hasil perkahwinannya terdahulu iaitu, Muhd. Haqiem Armany, 13, Muhd. Hardy Amieran, 9, dan Nur Hanyz Amanda, 8.

Walaupun baru-baru ini dia telah memperkenalkan Muhammad Haq buat tatapan umum, Norish melahirkan kesyukuran dan mengakui dirinya berasa bertuah kerana tidak terus dicemuh malah dihargai oleh peminatnya.

Ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri program Wanita Hari Ini di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor semalam, Norish berkongsi kebahagiaan bersama anak-anaknya itu.

Kosmo!: Setelah membuat pengakuan bahawa Muhammad Haq merupakan anak keempat Norish baru-baru ini, apakah impaknya terhadap kehidupan anda?

NK: Tiada apa-apa normal sahaja, selepas umum mengetahui Muhammad Haq anak saya, sokongan peminat kepada saya masih kuat. Kalau tidak percaya tengok Facebook saya, peminat beri sokongan dan kata-kata perangsang. Apabila saya keluar (rumah) semua orang sayang dan peluk saya, setakat ini tidak ada kata-kata cemuhan semua macam biasa sahaja.

Kenapa Norish tutup mulut sebelum ini tentang Muhammad Haq?

Ini bukan soal tutup mulut atau buka mulut, sebenarnya saya bercadang akan menjemput semua orang dan memperkenalkan Muhammad Haq ketika sambutan hari jadinya yang pertama tetapi sebelum itu sudah ada pelbagai cerita yang mendahului rancangan saya.

Adakah Norish tabah menghadapi segala kontroversi ini?

Saya tiada masalah dan tidak kesal perkara ini didedahkan sebelum rancangan saya untuk memperkenalkan anak saya ketika sambutan hari jadinya bulan depan.


SERIUS. Norish Norish Karman dikerumuni wartawan ketika membuat kemunculan pada majlis rumah terbuka Wanita Hari Ini di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor semalam.


Adakah Norish kesal perancangan untuk memperkenalkan Muhammad Haq pada bulan depan tidak menjadi tetapi sebaliknya muncul gosip liar di laman blog?

Alhamdulillah saya gembira kerana Tuhan telah membuat jalan ini untuk saya, saya terima. Kalau pelan A tidak berjaya saya teruskan sahaja pelan B kerana kita tidak boleh berpatah balik kepada pelan A.

Adakah Norish bercadang untuk menyaman pihak yang membuat gosip liar termasuk yang menceritakan perkara tidak elok mengenai kehadiran anak baharu ini?

Tidak mahu saman, buat apa nak saman orang yang tiada duit, baik saman orang kaya. Bagi saya apa yang berlaku itu adalah dugaan, dia tidak tahu apa yang saya rasa dan hidup dalam dunia ini pun bukannya lama. Saya tidak takut kepada manusia.

Bagaimana dengan kehadiran Muhammad Haq dalam hidup Norish sekeluarga?

Dia anak yang mengagumkan dan terbaik dalam dunia, tidak pernah menyusahkan hidup saya, sebaliknya menggembirakan keluarga termasuk ibu bapa saya. Semua orang sayangkan dia termasuk ramai yang hendak menjadikan dia anak angkat sehingga nak ‘angkat’ dengan harga berjuta pun ada tetapi saya tidak terima, dia anak saya dunia akhirat.

Bagaimana dengan karier seni Norish sekarang ini?

Saya masih berlakon dan menyanyi. Mungkin saya akan sibuk mempromosikan album nanti, di samping itu saya juga sibuk menjadi pakar motivasi di universiti dan syarikat korporat termasuk menyambung pelajaran peringkat ijazah di sebuah universiti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: