Chong Wei dan Mew Choo bakal disatukan tahun depan.
Chong Wei dan Mew Choo bakal disatukan tahun depan.

SELEPAS 11 tahun mengenal hati budi, dua jaguh badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei dan bekas ratu perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo akhirnya memilih tanggal 2013 sebagai tahun tuah untuk mendirikan rumah tangga.

Bahkan rata-rata peminatnya tidak sabar menanti detik bersejarah bakal pengantin. Di laman sosial Facebook Sinar Harian, semalam, peminat tidak putus mengucapkan tahniah.

Ada juga yang mendoakan anak yang bakal lahir nanti turut mengikut jejak Chong Wei dan Mew Choo selain berharap pasangan ini menubuhkan akademi badminton untuk membentuk lebih ramai pemain badminton bertaraf dunia kelak.

Bercerita mengenai kisah cinta, percintaan mereka juga tidak ubah seperti insan lain yang kadang kala ada pasang surutnya. Chong Wei dan Mew Choo, 29, juga tidak pernah terlepas melalui dugaan percintaan apatah lagi Chong Wei terlalu sibuk dengan jadual latihan dan kejohanan antarabangsa.

“Kami berkawan sudah lama.Tetapi kadang-kadang saya tiada masa dan saya mahu fokus pada kerjaya dan biasalah ada kalanya kita bergaduh,” katanya.

Mereka berkenalan sejak 2001 ketika masing-masing mengikuti kem latihan badminton negara. Malah kisah cinta mereka pernah terputus pada 2009 ketika menjalani latihan di Korea. Kalau sudah jodoh tidak ke mana, apabila cinta mereka kembali bertaut setahun lalu.

Kisah percintaan wira negara ini, sering mendapat perhatian meluas media dan peminat seluruh tanah air, namun sering kali soalan diaju, beliau hanya tersenyum dan cuba mengelak daripada menjawab soalan berkaitan perihal peribadinya.

Tetapi, sebenarnya Chong Wei sudah pun memberi petunjuk siapakah gerangan wanita yang bakal dikahwini, cuma tiada penjelasan sahih dari empunya diri. “Anda tahu siapa dia,” kata Chong Wei menjawab soalan nakal para wartawan.

Bagaimanapun sehingga kini, pemegang pingat perak Olimpik 2008 dan 2012 itu, masih merahsiakan tarikh sebenar dan lokasi untuk meraikan majlis bersejarah itu memandangkan semuanya dalam perancangan.

“Mungkin saya akan mengundur diri tahun depan kerana pertandingan penting sudah berakhir dan mula merancang memandangkan saya bukan lagi muda,” kata pemain berusia 30 tahun itu.