Thursday, August 30, 2012

Solekan dari hati

Norhafiza (kanan) dan Safinah (kiri) turut terbabit dalam menjayakan solekan pengantin bagi para pemenang Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-3.

FITRAH setiap wanita di muka bumi ini sukakan kecantikan dan salah satu cara memilikinya ialah dengan solekan yang sesuai.

Jika diimbas kembali satu ketika dulu bidang solekan di negara ini biasanya dikendalikan oleh golongan yang bergelar mak andam.

Namun evolusi kerjaya solekan kini lebih meluas dan tidak terhad kepada andaman pengantin semata-mata.

Malah bidang solekan kini diperluaskan cabangnya hingga menjadi kerjaya yang boleh dikelaskan sebagai profesional.

Lihat saja contoh hasil solekan barisan model untuk rancangan berprestij seperti America's Next Top Model yang bukan calang-calang individu mampu melakukannya.

Itulah juga hasrat Norhafiza Norham, 30, yang mempunyai impian untuk menjadi salah seorang jurusolek untuk rancangan yang mendapat antara rating tertinggi satu ketika dulu.

Teruja memperlihatkan tema solekan berbeza setiap kali cabaran, Norhafiza yang selesa dengan panggilan Fyza turut mempelajari teknik solekan berseni menerusi YouTube di Internet.

"Setiap kali model tampil dengan solekan berbeza itulah yang menjadi inspirasi pada diri saya, saya mahukan sesuatu yang berbeza dan saya akan bereksperimen dengan cara saya sendiri pula," ujarnya.

Fyza yang mula serius dalam bidang solekan sejak tiga tahun lalu mendapat ilmu solekan secara formal daripada mentornya, Afidah Khamis.

Katanya lagi, bidang solekan yang dipilihnya dulu bermula dengan kisah yang agak lucu.

Kira-kira tiga tahun lalu, jurusolek untuk kakak iparnya tidak hadir pada majlis persandingan seperti yang telah dijanjikan.

"Bayangkan ketika itu memang kelam-kabut, saya terpaksa jadi bidan terjun untuk solek kakak ipar. Kebetulan saya memang boleh menyolek kerana kerjaya saya sebagai pegawai khidmat pelanggan di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) memang diajar asas untuk grooming, jadi asas menyolek tu ada.

"Sejak menyolek kakak ipar, ramai pula yang memuji hasilnya. Dari situ timbul minat untuk menyolek orang lain pula.

"Dalam pada itu memang hati saya berkata, seronok kalau dapat solek semua perempuan jadi makin cantik dan berkeyakinan. Jadi terus saya belajar cara solek pengantin dan Alhamdulillah rezeki saya nampaknya ada di bidang ini," jelasnya yang turut mendapat promosi dari mulut ke mulut.

Fyza turut bersyukur hasratnya untuk mengukir nama melalui media telah menjadi kenyataan dan kini dia mempunyai matlamat tersendiri dalam bidang solekan ini.

"Insya-Allah saya kini sedang mengumpul modal dan dalam masa yang sama, menambah ilmu tentang cara solekan artistik, futuristik dan pelbagai lagi konsep solekan.

"Jika semuanya berjalan dengan lancar, saya akan mempunyai butik solekan saya sendiri dalam jangka masa dua tahun lagi," jelasnya penuh optimis.

Fyza boleh dihubungi menerusi talian 017-2101082 atau boleh lihat hasil sentuhannya menerusi www.diaryofafashionista-fyza.-blogspot.com.

Seorang lagi anak didik Afidah Khamis dari Afidah Khamis Make Ups & Stuff ialah Safinah Mustafa Zainal, 27.

Sebelum berkahwin, Safinah yang selesa membahasakan dirinya Ina ini, memang tidak pernah dan tidak tahu bersolek langsung. Dia hanya menggunakan bedak apabila keluar rumah.

"Majlis perkahwinan saya merupakan permulaan saya secara serius dalam bidang solekan ini. Dalam tahun 2008 saya menggunakan perkhidmatan Kak Fidah (Afidah) dan amat berpuas hati dengan hasilnya.

"Sebenarnya memang saya sangat minat bidang kecantikan tapi tiada peluang untuk melibatkan diri secara serius, jadi bila dia buka peluang saya terus mengambilnya," ujar Ina.

Bagi Ina, kepuasan menjadi jurusolek ialah apabila dapat meningkatkan keyakinan diri bukan sahaja untuk dirinya sendiri bahkan kepada pelanggan yang disolek.

Sudah tentu pujian sebagai 'bonus' untuk terus ke hadapan.

"Empat tahun saya dalam bidang ini sudah tidak terkira bilangan wajah yang sudah disolek. Boleh dikatakan setiap bulan ada dapat undangan solek untuk perkahwinan, pertunangan dan majlis makan malam," ujar ibu kepada Syafiqah Dalilah dan Alya Aleesya ini lagi.

Ina mempunyai petuanya sendiri untuk mencipta keserasian dengan pelanggan iaitu dengan mengaplikasikan pengalaman yang ada bagi menyelami watak seseorang menerusi perbualan sebelum memulakan solekan.

Dengan cara itu katanya dia mendapat idea tentang solekan yang bersesuaian juga solekan impian yang diharapkan pelanggan.

"Menariknya tentang solekan ini ialah pendapatannya cukup saya jadikan modal perniagaan online saya yang dibuat dari rumah.

"Insya-Allah saya akan mendalami ilmu kecantikan khusus penjagaan kulit kerana saya percaya solekan yang cantik berasaskan kulit yang sihat.

"Saya juga ingin mempelajari teknik-teknik terbaru dengan lebih mendalam dan merancang ingin membuka kelas solekan peribadi dan kelas solekan berkumpulan satu hari nanti," jelasnya yang mendapat sokongan suami, Mohd Safri Lee.

Hasil solekan Ina boleh dilihat di http://barangmakeup.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: