Thursday, August 30, 2012

Menghargai pengorbanan anggota tentera


SEJARAH mengenai kisah pengorbanan perajurit mampu memupuk semangat patriotisme. - Gambar hiasan


SECARA jujurnya, berapa ramaikah khususnya generasi muda yang berminat membaca artikel berkaitan dengan kisah dan pengorbanan perajurit dalam usaha menggapai kemerdekaan negara?

Realitinya, terdapat segelintir pihak memandang sambil lewa artikel berkenaan kerana merasakan ia sesuatu yang membosankan dan tiada elemen hiburan.

Biarpun hanya membabitkan komuniti kecil, namun pengorbanan perajurit harus dihayati oleh semua golongan tanpa mengira tua, muda, kanak-kanak.

Kalau diimbas, kemeriahan sambutan kemerdekaan tidak sekadar diisi dengan penceritaan pengorbanan perajurit menerusi medium berita, rencana, malah pemupukan ke arah peningkatan semangat patriotisme ini turut diaplikasikan dalam pelbagai kaedah.

Antaranya, menerusi drama genre sejarah dan dokumentari khusus selain program-program sambutan kemerdekaan yang dianjurkan.

Persoalannya, berapa ramaikah antara kita yang menghargai, menjiwai dan menghayati erti sebenar pengorbanan para perajurit?

Nilai patriotisme dalam kalangan golongan muda sering dipertikaikan. Ada antara mereka yang menganggap hari kemerdekaan tidak lebih daripada sekadar cuti umum.

Apa yang paling mendukacitakan apabila ada segelintir pihak bukan sahaja tidak menghargai pengorbanan perajurit sebelum ini bahkan memandang mereka sebelah mata.

Bagi mereka, peranan tentera hanya perlu disanjung sebelum era kemerdekaan yakni sebelum tahun 1957. Mereka mengaitkan anggota pertahanan negara itu dengan keadaan darurat yang berlaku pada waktu itu.

Hari ini, pelbagai kaum hidup aman. Namun keamanan dan kesejahteraan ini menjurus kepada satu pemikiran sempit, mempertikaikan kepentingan kewujudan satu pasukan tentera berkaliber.

Semangat patriotisme

Semuanya berlaku kerana mereka mengambil enteng peranan anggota tentera di samping tiada minat untuk mengetahui kisah perajurit dan sejarah negara.


PERISTIWA konfrontasi telah mencetuskan kekacauan dan pertempuran sehingga membabitkan kehilangan banyak nyawa termasuk di kalangan tentera Malaysia. - Gambar hiasan


Sejarah dan pengetahuan mengenai kisah pengorbanan perajurit berperanan memupuk semangat patriotisme dan membuka mata berhubung peranan anggota tentera.

Namun peranan tentera hari ini dilihat seperti tiada kepentingan, sekadar beraksi di pembarisan, pameran, ekspo dan pemberian bantuan.

Walhal, keamanan dan keharmonian yang dikecapi hari ini bukan sekadar hasil daripada tonggak kepimpinan negara bahkan pengorbanan anggota keselamatan yang berkhidmat tanpa mengira siang atau malam.

Kemerdekaan dan tiada peperangan tidak bererti kita sudah terlepas daripada ancaman musuh. Hal ini diakui sendiri oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Mejar Rosli (B) Mohd. Yazid.

“Kita harus ingat kewujudan tentera ini sebagai benteng daripada ancaman luar. Bukannya apabila mengaitkan tentera, kita mesti berperang. Lagipun, bukan dasar kita untuk menakluk mana-mana negara lain.

“Kalau kita lihat tentera tidak penting, dengan kedudukan Malaysia yang strategik ini ada kemungkinan kita akan dijajah sekali lagi. Kita mesti setanding dengan negara lain dalam aspek pertahanan, demi menjaga keselamatan negara,” katanya.

Biarpun peranan tentera tidak dilihat secara meluas, hakikatnya anggota keselamatan ini sama ada darat, laut mahupun udara, mereka bertanggungjawab menjaga sempadan, melakukan pemantauan dan rondaan bagi mempertahankan negara daripada diceroboh oleh anasir jahat mahupun membanteras penyeludupan senjata, manusia.

Dengan adanya langkah kawalan ini, ia bukan sahaja menjanjikan keamanan dan keharmonian kepada masyarakat sehingga menyebabkan ada antara mereka memandang sebelah mata peranan komuniti pertahanan ini. Namun harus diingat tentera antara faktor penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan tarikan pelabur dari luar.

Namun, disebabkan sebahagian besar generasi kini sudah merasai kenikmatan dunia dan tidak pernah merasai cabaran keperitan sebelum itu, kebanyakannya lupa kepentingan tentera.

Ditambah pula dengan semangat patriotisme yang kurang menebal, tidak berminat membaca dan menonton kisah perajurit terdahulu, menyebabkan peranan tentera hari ini dilihat tidak penting. Senario ini boleh melukakan perasaan dalam kalangan perajurit yang masih hidup dan berjuang demi kemerdekaan negara.

Rosli berkhidmat sebagai Ketua Platun Rejimen Renjer Diraja Tentera Darat Malaysia semasa terlibat dalam operasi menentang komunis pada tahun 1974.

Terlibat dalam operasi penentangan komunis merupakan satu detik yang sukar dilupakan dalam mempertahankan kemerdekaan negara.

Jerangkap samar

Memimpin 35 anggota dalam satu platun, saat paling menyedihkan ialah ketika beliau melihat kesengsaraan rakan angkara jerangkap samar.


SEORANG pekerja bengkel kereta, Saruddin Salleh, 30, bersemangat memasang Jalur Gemilang di halaman rumah sewanya di Kampung Pulau Pisang, Jitra, Kedah. - Gambar hiasan


“Ketika saya menyertai operasi menentang komunis pada tahun 1974, pada masa itu cuaca sangat panas dan perkara paling sukar apabila terkena jerangkap samar, kerana akan ada semangat anggota yang jatuh.

“Ditambah pula, melihat bagaimana kawan-kawan terkena jerangkap samar, ada yang mati, buta dan cacat anggota badan memang sedih. Apabila melihat generasi muda memandang remeh kemerdekaan, saya terasa sangat.

“Rasa diri dan pengorbanan selama ini diperlekehkan,” katanya yang bersara awal pada tahun 1994.

Kekecewaan ini turut dikongsi bersama Pengarah Sumber Manusia dan Pentadbiran Perhebat, Mejar (B) Rosdin Mohammad.

Pernah berkhidmat menentang komunis pada tahun 1983 sehingga setahun sebelum komunis menyerah diri pada tahun 1989, bagi Rosdin ia merupakan satu pengalaman manis yang dapat meningkatkan lagi semangat patriotismenya.

Ketika berkhidmat sebagai pemerhati tentera di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa Perang Bosnia, kesan peperangan itu menjurus beliau untuk lebih menghargai dan mempertahankan keamanan serta kesejahteraan yang dikecapi.

“Kita perlu menghargai usaha datuk, nenek, moyang mendapatkan kemerdekaan daripada penjajahan. Saya sudah melihat bagaimana derita dan sengsaranya mangsa perang.

“Biarpun kita sudah merdeka, tetapi kedaulatan negara harus dijaga supaya kejadian seperti Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1963 tidak akan berulang,” katanya. Bagaimana pula dengan mereka yang sudah meninggal hanya semata-mata untuk menghadiahkan keamanan kepada kita?

Tidak timbulkah perasaan bersalah, kalau tidak pun hargailah peranan tentera kerana tanpa mereka tidak mustahil sejarah hitam seperti Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1963 kembali menyengat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: