|
MERAIH populariti dan mempunyai pendapatan sendiri dalam usia yang masih mudah bukanlah tiket untuk tiga pelakon remaja yang juga adik-beradik Elfira, 18, Ezlisa, 16, dan Ezzrin Loy, 15, hidup berbeza daripada remaja seusia mereka.
Sebaliknya anak-anak kepada Filzah Yusoff, 47, yang telah 14 tahun bergelar ibu tunggal itu masih menjalani kehidupan remaja normal cuma jadual waktu mereka sangat ketat dan harus disusun sebaik mungkin supaya tidak bertembung dengan jadual persekolahan.
"Kami pergi sekolah, kelas tuisyen, kena buat kerja sekolah dan keluar dengan kawan-kawan macam orang lain juga tidak ada bezanya.
"Kami juga kena marah kalau buat salah, tidak ada yang istimewa hanya kerana bergelar pelakon pada usia yang muda. Malah, ibu hanya beri belanja sekolah RM3 sehari walaupun kami ada pendapatan sendiri," balas Elfira yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik.
Elfira yang sedang menuntut di peringkat diploma di Kolej Damansara Utama dalam pengkhususan kesenian hiburan memberitahu pelajaran tetap diutamakan meskipun kerjayanya semakin stabil.
"Saya bukanlah jenis orang yang suka merancang sebaliknya hanya ikut rentak keadaan. Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk sambung belajar tetapi niat itu muncul seiring dengan peluang yang datang secara kebetulan.
"Jadual saya semakin padat bila sambung belajar tetapi saya bukanlah jenis ulat buku dan akan ambil cuti daripada lakonan untuk ulang kaji pelajaran menjelang minggu peperiksaan sahaja," tutur Elfira dalam tawa yang juga duta produk Maybeline.
Tegas pelakon telefilem popular Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu, meskipun jadual hariannya dipantau ibunya yang merangkap pengurus peribadinya, segala keputusan berhubung kerjaya ibunya tidak pernah masuk campur.
"Ibu tidak pernah menghalang atau mengawal saya dalam bidang lakonan. Segala keputusan berhubung pemilihan watak diserahkan bulat-bulat kepada saya.
|
"Ibu cuma pesan jaga perangai dan jangan abaikan pelajaran walaupun sibuk berlakon, harus pandai bahagikan masa. Setakat hari ini Alhamdulillah, nama saya masih bersih.
"Rasanya tidak ada apa cerita panas tentang saya yang boleh ditulis sebab saya bukannya jenis keluar malam. Rutin harian saya, bangun pagi pergi kuliah, pergi ke set penggambaran dan balik rumah, semuanya ditemani ibu sebab saya tidak boleh memandu," kata Elfira sambil dipersetujui oleh ibunya.
Ezlisa mahu buka restoran
Elfira dan dua adiknya mengaku selain minat, mereka terlibat dalam bidang lakonan kerana pulangan yang cukup lumayan.
Bagaimanapun, ibunya langsung tidak memaksa mereka bertiga untuk bekerja sebaliknya keinginan untuk berlakon terbit daripada hati mereka sendiri.
"Berlakon memang dapat kumpul duit, terpulang kepada seseorang pelakon itu menguruskan kewangan mereka. Macam saya mempunyai simpanan sendiri dan wang kegunaan harian dipantau ibu supaya saya tidak terlebih belanja.
"Namun, jika ada barang berjenama mewah yang saya diingini, saya akan beli tetapi tidak banyak. Bagi saya barang jenama mewah perlu untuk tingkatkan nilai komersial seseorang terutamanya kerjaya saya sebagai aktres.
"Bukan untuk bermegah-megah tetapi memiliki barangan mewah meletakkan saya pada suatu standard yang tersendiri, apa salahnya memuaskan hati sedikit daripada hasil titik peluh sendiri, cuma beli barang yang perlu sahaja," kata Elfira bersungguh-sungguh.
Adik Elfira, Ezlisa pula berkata, dia lebih suka pergi ke sekolah dan kelas tuisyen daripada berada di set penggambaran kerana minatnya lebih terarah kepada bidang masakan daripada lakonan.
|
"Cita-cita saya untuk menjadi seorang tukang masak dan membuka restoran sendiri suatu hari nanti, malah, selepas tamat sekolah saya merancang untuk memasuki sekolah kulinari.
"Lakonan tempat untuk saya mencari duit, sebenarnya antara kami bertiga saya yang paling tidak aktif berlakon. Saya hanya berlakon jika saya mahu membeli sesuatu seperti telefon bimbit atau pakaian," kata Ezlisa yang mengambil jurusan sains tulen di sekolah.
Ezzrin berdikari
Anak bongsu keluarga seni, Ezzrin Loy mula berlakon sejak berusia sembilan tahun dalam teater Ali Baba bersama kakaknya Elfira.
Sungguhpun semakin popular, namun Ezzrin yang cukup manja dengan ibunya berkata perjalanan kehidupannya masih panjang, oleh itu dia sendiri tidak tahu tentang masa depannya sendiri.
"Saya belum memutuskan untuk terus terlibat dalam lakonan atau terlibat dalam bidang lain apabila dewasa kelak.
"Buat masa ini saya hanya mengikut perjalanan yang telah diaturkan. Saya suka berlakon kerana boleh beli barangan yang saya ingin tanpa minta duit ibu atau kakak, tetapi selalunya kakak akan marah jika saya beli barang yang bukan-bukan," ujar Ezzrin yang sehingga kini sudah membeli empat buah motosikal.
Tutur ibu mereka, dalam tiga orang anak itu, anak bongsunya paling berdikari. Ibunya juga jarang-jarang menemani Ezzrin di lokasi penggambaran berbanding dua anak perempuannya itu.
"Adik (panggilan untuk Ezzrin) campak di mana pun dia boleh hidup sebab itu saya tidak risau sangat. Cuma sebagai ibu saya tetap kawal jadual hariannya," kata ibunya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: