Umurnya bakal mencecah 20 tahun, 28 September ini. Dalam usia muda sebegini, Izara Aisyah boleh dikatakan beruntung kerana mempunyai segalanya.
Bukan saja memiliki raut wajah menawan, malah karier lakonannya juga berjalan lancar tanpa diiringi sebarang kontroversi.
Hari demi hari, bakat anak kelahiran Johor ini semakin mendapat tempat dalam kalangan penonton.
Usai tayangan drama bersiri popular, Vanilla Coklat di TV3 yang berjaya melonjakkan namanya, wajah Izara kini menghiasi pula slot Zehra menerusi drama Naziha.
Dua tahun berada dalam industri selepas memenangi tempat kedua pertandingan Dewi Remaja 2009/2010, Izara mengakui semakin selesa menjalani kehidupan sebagai selebriti.
“Alhamdulillah, kehadiran saya dalam dunia lakonan disedari dan diterima peminat yang banyak memberi sokongan.
“Bukan mudah untuk membina karier dan saya anggap ini semua sebagai rezeki,” katanya ketika ditemui di majlis anjuran Burger King, baru-baru ini.
Biarpun terpaksa mengorbankan masa remajanya, menurut Izara, tidak sedikit pun terdetik rasa menyesal dengan apa yang dilaluinya.
“Ya, kadang-kadang saya agak tertekan dengan jadual yang padat setiap hari.
“Namun, inilah impian saya dari dulu. Di sebalik semua ini, saya bersyukur kerana emak sentiasa memberi sokongan dan nasihat,” katanya yang hanya berkesempatan berehat ketika Ramadan lalu.
Tak memilih
Semakin ‘lebat’ dengan tawaran lakonan, tidak lama lagi Izara akan memulakan penggambaran filem Putera di samping pelakon handalan seperti Beto Kusyairi dan Namron.
Putera merupakan filem kedua dibintangi Izara selepas KL Zombie dan selepas itu dia bakal terlibat dengan sebuah lagi filem baru.
Mula dikenali daripada drama televisyen, Izara menafikan dia kini hanya memilih tawaran berlakon di layar perak.
“Saya bukanlah terlalu memilih dan akan ambil tawaran mana yang datang dulu, tidak kira drama atau filem.
“Malah, sebagai pelakon baru, saya sedar kemampuan lakonan saya. Jika saya rasa belum layak membawakan sesuatu watak, saya akan tolak,” katanya yang terpaksa menangguhkan pengajian di kolej demi memberi tumpuan kepada lakonan.
Cerewet jadi duta
Selain bergiat aktif dalam lakonan, gadis kacukan Melayu-Pakistan ini turut menjadi pilihan jenama makanan segera terkenal, Burger King sebagai duta selama setahun.
Memulakan tugas barunya itu sejak dua bulan lalu, jelas Izara, dia mempunyai kriteria sendiri sebelum menerima tawaran sesebuah produk.
“Saya memang cerewet dalam bab ini dan hanya memilih produk yang boleh membantu karier saya.
“Selain itu, saya juga akan meneliti terlebih dahulu tugas saya sebagai duta dan pasaran sesebuah produk,” katanya yang juga duta Cosry Pink Label dan Secret Garden.
Izara turut menjelaskan dia memilih menjadi duta produk dalam usahanya untuk lebih mendekati peminat.
“Kebiasaannya saya sibuk berlakon dan tiada masa terluang untuk berjumpa peminat.
“Apabila terlibat dengan program diaturkan produk yang saya wakili, dapatlah saya bertemu peminat yang banyak menyokong selama ini,” akhirinya.
Tuesday, August 28, 2012
Izara korban zaman remaja demi karier
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: