REALITI yang berlaku kepada masyarakat masa kini terutamanya anak muda dilihat semakin 'takut' dengan kehadiran pendakwah.
Apabila pendakwah cuba mendekati mereka, pelbagai alasan akan diberikan secara langsung untuk mengelak daripada bertemu atau berbicara dengan pendakwah tersebut.
Lebih-lebih lagi pendakwah yang datang kepada mereka dengan berpenampilan seperti ustaz yang lengkap berpakaian jubah dan berserban.
Walaupun Malaysia sebuah negara yang dihuni majoriti umat Islam, namun amalan ajaran Islam didapati semakin goyah, malah menjadi janggal dan tohmahan apabila dilakukan oleh segelintir individu.
Hal ini menjadikan sebaran dakwah semakin sukar disampaikan dan terhad kepada segelintir pihak sahaja untuk menerima amalan sunah Rasulullah SAW itu.
Ketua Pegawai Operasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Mohd. Noor Abdul Rahman berkata, oleh itu pelbagai pendekatan baru perlu diterokai oleh pendakwah dalam menarik perhatian dan minat golongan sasar untuk menerima dakwah.
Ini penting katanya bagi membolehkan misi dakwah disampaikan dengan efektif dan berkesan.
"Peredaran zaman menjadikan penyebaran dakwah semakin mencabar dan berbeza. Ini kerana, segelintir masyarakat terutamanya golongan remaja sukar atau tidak berminat untuk menerima ajakan melalui kaedah dakwah tradisional.
"Malah, ia hanya membuatkan mereka merasa tidak senang untuk didekati, apatah lagi perlu memberikan sedikit masa bersama pendakwah tersebut.
"Justeru pelbagai pendekatan dakwah temporari perlu diterokai bagi menjayakan misi sebaran dakwah yang lebih berkesan dan meluas kepada segenap lapisan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia pada program Jelajah Rel Pantai Timur anjuran Yadim baru-baru ini.
Jelajah menaiki keretapi tersebut merupakan salah satu pendekatan Yadim dalam menyebarkan dakwah kontemporari secara santai dan bersahaja kepada penumpang dan kakitangan keretapi.
Melalui teladan
Mohd. Nor yang juga pengarah program tersebut berkata, melalui program itu, Yadim cuba menyebarkan dakwah melalui contoh teladan dan ramah mesra kepada penumpang dan kakitangan keretapi.
"Masyarakat lebih mudah menerima dakwah dengan pendekatan yang santai dan bersahaja. Sebagai contoh, peserta jelajah melakukan solat berjemaah di perhentian dan solat sekadar mampu di dalam keretapi.
"Ini boleh membuatkan orang ramai yang melihat akan berfikir dan secara tidak langsung dapat memotivasikan mereka melalui contoh itu tadi yang jelas menunjukkan mudahnya menunaikan kewajipan dalam ajaran Islam.
"Selain itu, sepanjang perjalanan di dalam keretapi, kita dapat mendekati penumpang dengan menganggap mereka seperti kenalan baru agar mudah untuk menghampiri mereka.
"Sehinggakan mereka sendiri tidak menyedari bahawa misi sebenar kita adalah untuk menyampaikan sesuatu mengenai agama Islam," jelasnya.
Pada jelajah itu, seramai 52 peserta mengambil bahagian. Mereka terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Persint 11/1 dan kakitangan Yadim.
Turut serta Yang Dipertua Yadim, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir dan Pegawai Eksekutif Yadim, Dr. Abdul Ghani Mohamed.
Peserta turut diberi peluang membantu mengagihkan burger Yadim, risalah dan borang sahabat Yadim kepada penumpang.
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai pengetahuan melalui pelbagai pengalaman baru yang didapati selama tiga hari program jelajah berlangsung.
Tambah Mohd. Nor, melalui program seumpama itu dapat menyangkal persepsi yang mendakwa dakwah Islamiah bersifat tertutup dan membosankan.
Ini kerana katanya, ramai yang tidak memahami keterbukaan Islam yang membolehkan dakwah disebarkan dengan pelbagai cara selagi tidak bertentang dengan syariat Islam.
"Segelintir masyarakat yang kurang pendedahan ilmu pengetahuan beranggapan dakwah hanya dilakukan di surau atau masjid serta seminar atau kelas agama yang dianjurkan di dewan sahaja.
"Melalui jelajah ini dapat membuka minda orang ramai dan juga peserta mengenai keterbukaan Islam yang menggalakkan umatnya untuk memperluaskan dakwah dalam apa cara sekali pun agar lebih efektif," ujarnya.
Dalam pada itu Dr. Aziz Jamaludin berkata, Jelajah Rel Pantai timur membolehkan Yadim mendekati semua lapisan masyarakat dengan membawa imej Islam sebagai agama yang bertepatan dengan peredaran zaman.
Jelajah itu juga katanya merupakan salah satu aktiviti Yadim untuk mendekati masyarakat dan mengeratkan hubungan silaturrahim. Ia secara tidak langsung membolehkan menjayakan moto Yadim iaitu 'Ssampaikan Walau Satu Ayat'.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: