Thursday, August 30, 2012

Astro Best, Saluran Baharu Astro Untuk Filem Antarabangsa

Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan (enam, kanan) bersama karakter adiwira-adiwira pada pelancaran Astro Best di Kafe Zouk, Garden Midvalley, di sini, Rabu.

KUALA LUMPUR: Stesen berbayar Astro menambahkan lagi saluran baharu untuk peminat filem-filem antarabangsa dengan memperkenalkan Astro Best selepas kejayaan Astro First yang menyajikan filem-filem tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, filem-filem tersebut akan disiarkan dalam format definisi tinggi (HD) menerusi saluran 481 selepas tiga bulan tayangan di pawagam. Ia dijual dengan harga RM10 untuk sebuah filem.

"Melihat kejayaan yang diraih menerusi saluran Astro First, kami berusaha untuk membawakan tawaran-tawaran menarik melalui 'pay per view' menerusi Astro Best.

"Dan mulai hari ini (Rabu), para pelanggan sudah boleh membeli filem-filem antarabangsa termasuklah Asia dengan RM10 bagi setiap pilihan filem yang dibuat.

"Filem yang dipilih itu boleh ditonton dalam masa 48 jam selepas langganan," katanya pada pelancaran Astro Best di Kafe Zouk, Garden Midvalley, di sini, Rabu.

Buat permulaan antara filem-filem yang bakal ditawarkan ialah Marvel's The Avengers, The Hunger Games, What to Ezpect When You're Expecting, The Cabin In The Wood dan konsert Korea I AM:SM Town Live Tour in Madison Square.

Henry Tan

Tambah Henry, pelanggan boleh menonton filem yang dibeli itu dalam 12 tayangan pada masa-masa yang berlainan.

Astro melakukan kolaborasi dengan studio-studio antarabangsa seperti The Walt Disney Company, Lionsgate, Sundance, Sony Pictures Televisyen, Fortune Star, CJ Media dan Unitel Classica untuk membolehkan pelanggan mengakses gedung filem-filem antarabangsa yang disediakan.

Sementara itu, bagi yang meminati siri ‘anime’ Jepun, ia turut ditawarkan menerusi saluran Astro B.yond VOD yang menyajikan audio serta sari kata dalam Bahasa Malaysia.

Astro B.yond VOD (Video-On-Demand) adalah sebuah perkhidmatan Internet yang disediakan bagi servis tawaran pelbagai filem dan program terhangat di seluruh dunia.

Antara filem-filem yang ditawarkan menerusi saluran itu ialah 50/50, Man On A Ledge, Abduction, Here, Teddy Bear termasuklah filem-filem Asia dan Bollywood seperti Nightmare, Ghost On Air, Ashoka, Chalte Chalte dan Penny Pinchers.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: