Thursday, August 30, 2012

Farah tangguh belajar

Farah sentiasa menjaga penampilan yang sopan dan anggun.

PEMILIK nama Farah Mislina Khairuddin, 22, seorang gadis yang ceria dan lincah. Ini dapat dilihat ketika aksinya yang bersahaja di hadapan lensa kamera semasa sesi fotografi dilakukan.

Beliau bukan sahaja mempunyai semangat yang kental, malah seorang gadis yang berdikari dalam menjalani kehidupan sehariannya.

Minat yang mendalam dengan dunia fesyen mendorong gadis ini menangguhkan pengajiannya buat sementara waktu.

Bukan dirinya tidak mendapat peluang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, tetapi lebih ghairah untuk menguruskan butik pakaian yang baru dibuka setahun lebih.

Dek kerana terlalu obses dengan fesyen, penggemar warna hitam ini tidak lagi pandang ke belakang.

Malah, beliau bersama kakaknya telah mengambil keputusan membuka butik pakaian muslimah, Cala Qisya.

Pelajar yang memegang Diploma kejuruteraan Mekanikal Politeknik Shah Alam, Selangor, mengakui tetap akan meneruskan pengajian suatu hari nanti kerana baginya menuntut ilmu adalah satu kewajipan.

"Sekarang saya terpaksa tangguhkan dahulu pelajaran kerana ingin memberi tumpuan kepada perniagaan yang baru dibuka.

"Nanti apabila perniagaan sudah stabil niat tersebut akan diteruskan kerana bagi saya seorang muslimah itu perlu seimbangkan kehidupan antara dunia dan akhirat," katanya.

Ujar anak kedua daripada empat orang adik beradik ini, sebelum membuka butik, beliau bersama-sama kakaknya pada mula hanya sekadar suka-suka sahaja menjual pakaian muslimah secara online.

"Kami mula menjual pakaian muslimah secara online kepada pelanggan yang terdiri dari kalangan kawan-kawan dan juga pemilik blog.

"Namun, apabila koleksi yang dijual mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelanggan, kami mengambil keputusan untuk mengembangkannya dengan membuka butik sendiri," kata Farah Mislina.

Ujarnya, pelbagai jenis rekaan pakaian dijual di Cala Qisya kepada remaja muslimah yang ingin nampak lain dan unik dalam menggayakan fesyen.

"Baju-baju yang dijual di sini sesuai kepada mereka yang inginkan kelainan dalam berfesyen. Mereka ingin tampil menarik dan moden tetapi dalam masa yang sama masih menitikberatkan ciri-ciri muslimah yang sopan dan anggun.

"Setiap rekaan baju tersebut, kami tekankan kepada potongan yang longgar kerana menjaga aurat adalah wajib bagi muslimah. Selain itu, rekaan yang banyak beralun menggunakan fabrik sifon dan sutera menjadi keutamaan ," katanya.

Ujar Farah, lagi, rekaan baju di Cala Qisya juga moden dan mengikut perkembangan semasa seiring dengan budaya k-pop yang semakin popular di kalangan remaja masa kini.

"Kami mengambil peluang perkembangan budaya tersebut dengan mengaplikasikan setiap rekaan mengikut fesyen pakaian di Korea.

"Baju tradisional negara Korea seperti Kimono dan Hanbok antara rekaan unik dari kami. Rekaan ini dimodenkan dengan kombinasi Korea dan Malaysia disesuaikan dengan budaya dan cuaca tempatan," katanya.

Ujarnya lagi, setiap pasang baju yang dijual di butik adalah rekaan dari beliau dan kakaknya.

"Kami bebas melakarkan rekaan mengikut kehendak dan kepuasan sendiri selain masih mengikut kehendak dan ciri-ciri yang diinginkan oleh remaja masa kini.

"Satu kepuasan dirasai apabila dapat menghasilkan rekaan baju sendiri. Adakalanya saya sendiri mengalami masalah untuk mencari pakaian yang sesuai mengikut cita rasa seperti moden dan muslimah," katanya.

Tambahnya, setiap jenis rekaan yang telah siap dilakar oleh mereka akan dihantar kepada tukang jahit khusus untuk menyiapkannya sebagai baju untuk dijual di butik

"Pakaian yang dijual di butik untuk semua peringkat umur. Baju-baju yang dijual sesuai untuk majlis kasual dan santai. Kami juga ada menjual pakaian harian untuk wanita di luar sana.

"Penggunaan warna-warna pastel, lembut dan warna blok menjadi keutamaan dalam setiap rekaan baju kami," katanya.

Tambah Farah, ketika memulakan perniagaan secara online kemudian membuka butik Cala Qisya mereka juga mengalami masalah modal.

"Kami bermula dengan modal hanya RM200. Adakalanya keuntungan yang diperoleh amat sedikit, namun itu bukanlah penghalang untuk kami terus berniaga sehingga ke hari ini," katanya.

Ujar gadis comel ini lagi, walaupun kekurangan modal pada permulaan, keinginan dan minat yang mendalam terhadap dunia fesyen menjadi pendorong kuat untuk memilik butik sendiri,

"Mula-mula buka kedai kami kurang modal. kebanyakan barangan hiasan dan perabot yang diletakkan di dalam kedai adalah barangan terpakai.

"Namun, ia tidak menjadi masalah kerana kami jadikan ruangan dalam butik nampak segar dan menarik dengan hiasan dekorasi yang indah," katanya.

Ujarnya lagi, tidak hanya terhad kepada menjual pakaian dan tudung, butiknya juga menjual aksesori dan hiasan wanita dari hujung rambut hingga hujung kaki.

"Selain baju, kasut daripada jenama Calaman, beg tangan dan aksesori tambahan juga dijual kepada pelanggan dengan harga yang berpatutan," kata Farah.

Tambahnya lagi, selain sibuk dengan perniagaan di butiknya, beliau juga masih meluangkan masa untuk mengemaskini laman blognya yang diberi nama Cala Qisya.

"Selain berkongsi cerita dan perkembangan tentang diri, blog ini juga berperanan untuk mempromosikan baju-baju yang dijual di butik.

"Bagi pelanggan yang membeli pakaian jenama kami di atas talian , setiap baju akan dicadangkan dengan padanan tudung yang sesuai supaya mudah mereka membuat keputusan untuk membeli," katanya.

Tambahnya, buat masa ini sedikit persaingan dihadapi oleh mereka sepanjang perniagaan dibuka.

"Persaingan ada, tetapi itulah cabaran untuk kami. Tambahan sambutan dari pelanggan juga menggalakkan.

"Setiap baju yang dijual di Cala Qisya boleh dianggap unik kerana kelainan melalui rekaan gabungan gaya korea dan Malaysia.

Ujarnya, harga setiap pakaian yang dijual di butik Cala Qisya juga berpatutan dan mampu dibeli oleh setiap golongan.

"Harga baju bagi pakaian harian dari RM50 hingga RM100. Manakala baju untuk menghadiri ke majlis-majlis tertentu sekitar RM100 hingga mencecah RM200.

"Manakala untuk kasut yang berjenama Calaman pula berharga dari RM60 hingga RM90," kata Farah.

Katanya, membuka butik sendiri di usia muda sepertinya memerlukan banyak pengorbanan dan cabaran.

"Mujurlah keluarga sentiasa membantu dan memberi sokongan kepada saya dan kakak jika menghadapi kesulitan.

"Jika ada masalah tentang perniagaan saya dan kakak akan sentiasa berbincang bersama-sama untuk mencari penyelesaian kepada masalah tersebut," katanya.

Ujar beliau, bekerja dengan keluarga sendiri merupakan satu keseronokan kepadanya.

"Saya dan kakak sangat rapat. Kami sama-sama minat fesyen sejak kecil lagi. Jika bekerja kami rasa lebih selesa dan tiada tekanan kerana saling memahami tugas yang perlu dilakukan,' kata Farah Mislina.

Sebarang maklumat lanjut boleh kunjungi butik Cala Qisya, 17-B, Jalan Plumbum P7/P, Pusat Komersial, Seksyen 7, Shah Alam atau email kepada Calaqisya@gmail.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: