Wednesday, August 29, 2012

Mumtaz berkorban demi negara



Di hari raya, Terkenang daku kepada si dia. Kampungku indah nun jauh di sana, Ayah serta bondaku...

BAIT-BAIT lirik lagu Dendang Perantau dendangan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu sememangnya sinonim bagi mereka yang bergelar anak perantau.

Bagi wanita itu, lagu yang menggambarkan kesedihan dalam kalangan perantau yang menyambut Aidilfitri cukup terkesan kepada dirinya satu ketika dahulu.

Memorinya pantas mengimbas peristiwa 32 tahun lalu ketika bergelar atlet olahraga kebangsaan.

Masih segar dalam ingatannya, pada tahun 1980 beliau telah dipilih menjalani latihan intensif selama hampir tiga bulan di Perth, Australia sebagai persiapan untuk pertandingan Sukan SEA di Manila dan Kejohanan Trek dan Padang Asia pada tahun 1981.

“Kebetulan jadual latihan yang dijalankan jatuh pada bulan Ramadan dan Syawal. Biarpun berat hati meninggalkan keluarga di tanah air, namun demi tanggungjawab dan amanah kepada negara, saya rela,” kata Datuk Dr. Mumtaz Jaafar, 50.

Menurut Mumtaz, pengalaman menjalani latihan pada bulan puasa di luar negara cukup mencabar atlet yang beragama Islam seperti dirinya.

“Bayangkan, setiap hari kami terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer dari hostel ke pusat latihan.

“Selepas penat berlatih sehingga ke petang, kami terpaksa bergegas pulang ke hostel untuk masak juadah berbuka pula.

“Hanya pada sebelah malam barulah kami berpeluang berehat dan melakukan ibadat tarawih,” kata anak ketiga daripada enam beradik itu.

Selain menjalani latihan sepanjang bulan berkenaan, mereka juga terlibat dengan pelbagai kejohanan olahraga tempatan yang diadakan.

Ujar Mumtaz, kerinduan terhadap keluarga di tanah air semakin memuncak tatkala Ramadan semakin melabuhkan tirainya.

Setiap kali menjelang Aidilfitri, beliaulah antara yang paling sibuk membantu ibunya melakukan pelbagai persiapan dan menyiapkan juadah pada pagi raya.


KEMERIAHAN Aidilfitri pada tahun ini lebih dirasai dengan kehadiran keluarga dan saudara-mara tercinta.


Bermaaf-maafan

Paling tidak dapat dilupakan ialah kesempatan bermaaf-maafan dengan ibu bapa dan adik-beradik, sebelum disusuli dengan kunjungan ke rumah saudara -mara dan sahabat handai di sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, ketika di Perth, semua itu hanya tinggal kenangan. Kata Mumtaz, beliau bertuah kerana dikelilingi rakan-rakan atlet yang sentiasa memberikan semangat untuk menjalani kehidupan di perantauan.

“Kami sangat akrab ibarat sebuah keluarga. Saya masih ingat pada pagi raya, semua bergaya dengan baju kurung dan baju Melayu sebelum menuju ke masjid berhampiran.

“Suasananya berbeza kerana saya dikelilingi Muslimin pelbagai rupa dan bangsa dari seluruh pelosok dunia.

“Selepas itu, barulah kami beramai-ramai ke pejabat Kedutaan Malaysia. Biarpun suasana dan sambutannya tidak semeriah di tanah air, namun ia sudah menjadi pengubat rindu terhadap keluarga,” katanya.

Prestasi memberangsangkan

Setahun selepas itu, beliau sekali lagi terpaksa melupakan hasrat berpuasa dan berhari raya bersama keluarga, apabila dipilih sekali lagi menjalani latihan di negara itu.


PERSARAANNYA sebagai atlet negara pada tahun 1989 membolehkan Mumtaz meluangkan lebih masa bersama keluarga.


Pengorbanannya nyata berbaloi. Semasa Sukan SEA di Manila (1981) beliau berjaya memperoleh pingat emas dalam acara 100 meter (m), 4X100m dan 4X400m dan perak dalam acara 200 m sekali gus diiktiraf sebagai Ratu Pecut Asia Tenggara pada usia 19 tahun.

“Semua atlet olahraga negara menunjukkan prestasi memberangsangkan di Manila. Paling manis, saya, Zaiton, Oii Cum dan Agamah berjaya memecahkan rekod Sukan SEA dan Sukan Asia bagi acara 4X400 dengan catatan 3:41:35 saat.

“Saya turut mencatatkan masa terpantas acara 100m dengan catatan 11.84 saat, namun ia tidak diiktiraf sebagai rekod Sukan SEA kerana faktor angin,” jelasnya yang mendirikan rumah tangga dengan Datuk Dom Amy Hussin, 62.

Kecemerlangan yang ditunjukkan mendapat pengiktirafan sewajarnya. Beliau dinobatkan sebagai Atlet Wanita 1981 dan Olahragawati Selangor 1981.

Ibu kepada, Dzuihailee L’Akbar, 29; Shahrel Iqbal, 25; Rehana Emilla, 21, dan Kyerl Emran, 20, itu berkata, beliau hanya bersara selepas temasya Sukan SEA (1989) di Kuala Lumpur sebelum menceburi bidang kejurulatihan.

“Selain faktor usia, saya juga ingin menumpukan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak,” katanya yang pernah menjadi jurulatih peribadi atlet pecut lelaki negara, Watson Nyambek.

Sumbangan dan jasanya terus diiktiraf kerajaan. Pada tahun 2007, beliau mendapat gelaran Datuk dari kerajaan Negeri Sembilan.

Selepas puas bermandi keringat di atas padang, kecintaan mendalam beliau terhadap olahraga diteruskan sebagai pentadbir sukan.

Pada tahun 2011, beliau mengetuai Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang bertujuan menjaga kebajikan bekas-bekas atlet yang telah banyak menabur jasa kepada negara.

Selepas melepaskan jawatan itu baru-baru ini, beliau kini merupakan Pengerusi Koperasi Atlet Kebangsaan Berhad di samping menjadi Naib Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM)

“Selagi berpeluang, saya akan terus berbakti kepada sukan olahraga dan negara,” ujarnya yang memberitahu Aidilfitri pada tahun ini lebih bermakna selepas dikurniakan cucu sulung perempuan, Adania Alfia, lima bulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: