Wednesday, August 29, 2012

Azmir mahu himpun orang sengau

BEKAS peserta program One In A Million musim kedua ini kini muncul dengan single berjudul, Laila One More Time.


MUNGKIN ramai yang masih belum mengenali penyanyi Azmir Arif, 29, walaupun sudah hampir lima tahun dia berada dalam arena nyanyian tanah air.

Bermula dalam program realiti TV, One In A Million musim kedua, Azmir, tidak pernah beranggapan kekurangan pada dirinya yang tidak dapat bercakap dengan normal sejak kecil itu sebagai batasan untuk menjejakkan kakinya lebih jauh dalam industri ini.

Azmir atau nama sebenarnya Mohd. Azmira Mohamad Arif berkata, ketika mula-mula melibatkan diri dalam dunia seni suara, dia agak keberatan untuk bercakap kerana bimbang ditertawakan.

“Dulu masa mahu buat persembahan, saya tidak bercakap, terus menyanyi sahaja. Namun, apabila sudah ada keyakinan saya bercakap sedikit, tetapi saya tengok ada penonton yang berbisik sesama sendiri. Selepas mereka dengar saya menyanyi, baru mereka dapat lihat bakat saya.

“Apabila orang sudah tahu percakapan saya tidak sama dengan nyanyian, baru saya ada keyakinan,” jelasnya pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini.

Mula membuka cerita mengenai masalah percakapan yang dialaminya, Azmir mengakui bahawa dia ada masalah sengau.

“Maaf ya kalau anda tidak faham, saya ada sengau,” akuinya.

Azmir yang lebih banyak menerima undangan persembahan di Singapura berharap suatu hari nanti dia dapat menghimpunkan golongan yang mempunyai masalah sengau untuk bertukar pendapat dalam menyalurkan keyakinan diri antara satu sama lain.

“Saya hendak ajar mereka bercakap dengan betul seperti yang saya buat, walaupun tidak dapat 100 peratus bercakap dengan elok, sekurang-kurangnya 90 peratus itu sudah cukup,” ujarnya yang pernah menjalani pembedahan bagi mengatasi masalah sengau ketika berusia 14 tahun.

Kata Azmir lagi, bagi orang sengau mereka tidak boleh bergantung 100 peratus kepada pembedahan semata-mata sebaliknya 50 peratus untuk bertutur dengan baik adalah disebabkan usaha belajar sendiri.

“Saya belajar bercakap dengan baik secara sendiri. Saya rakam suara dan dengar kesilapan itu semula, dengan cara itu saya belajar untuk menyanyi dengan baik,” ujarnya.

Menurut penyanyi yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang ini, pertaruhan terbaharunya sekarang adalah terhadap single berjudul, Laila One More Time yang berentak ala muzik K-Pop.

“Jiwa saya bukan ke arah itu sebenarnya, tetapi pencipta lagu itu berasal dari Korea, jadi saya anggap ia satu cabaran untuk diri saya menyanyikan lagu berkenaan,” katanya yang terpaksa menari untuk single berkenaan.

Azmir yang pernah mengeluarkan single sempena hari raya genre zapin berjudul Pulang Ke Desa bagaimanapun menegaskan dia tidak takut peminatnya keliru dengan kepelbagaian genre muzik yang dibawanya.

“Saya minat irama tradisional, bagi saya kalau anak muda macam saya tidak menyanyikan lagu ini siapa lagi yang akan berbuat demikian,” katanya yang pernah bekerja di sebuah bank sebelum bergelar penyanyi.

Baginya, lagu-lagu irama tradisional ini semakin kurang diperjuangkan dan dia merasakan tugas penyanyi muda sepertinya perlu banyak menyanyikan lagu sedemikian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: