Thursday, August 30, 2012

Semangat merdeka menerusi seni


HAIRIE OTHMAN (kanan) dalam satu babak filem Leftenan Adnan.


RAKYAT Malaysia masih disulam dengan suasana hari raya Aidilfitri, namun begitu sambutan kemerdekaan yang jatuh 31 Ogos setiap tahun tetap diraikan.

Selepas halwa telinga tegar dengan lagu-lagu raya, kini lagu-lagu patriotik pula mengambil tempat di corong radio. Meskipun saban tahun banyak lagu patriotik dicipta khas untuk sambutan kemerdekaan, namun hanya ada sebuah lagu yang berjaya membangkitkan rasa dan membuai perasaan sebaik lagu itu diputarkan.

Lagu yang dimaksudkan sudah pasti ialah 31 Ogos ciptaan Ahmad CB dan didendangkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Tidak hanya menerusi lagu, karya seni menerusi drama dan juga filem juga berjaya membangkitkan semangat cintakan negara. Antara filem patriotik sering yang ditayangkan pada bulan kemerdekaan termasuklah Sarjan Hassan, Bukit Kepong dan 1957: Hati Malaya.

Karya seni pilihan pada

bulan kemerdekaan

1 Lagu: 31 Ogos

Ciptaan: Ahmad CB

Dendangan: Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad

Trivia: Allahyarham muncul dengan album patriotik penuh berjudul Abadi pada tahun 1982 dan beliau juga cukup popular dengan fesyen baju bendera ketika menyanyikan lagu-lagu patriotik.

2 Lagu: Saya Anak Malaysia

Ciptaan: Dr. Sam/ S. Amin Sahab

Dendangan: Dr. Sam

Trivia: Walaupun lagu dendangan Dr. Sam ini agak rancak dan liriknya agak lucu namun, masih berpijak pada realiti kehidupan masyarakat di Malaysia. Semangat cintakan negara dan bangga menjadi anak Malaysia disemai di dalam lagu itu yang secara tidak langsung membuatkan lagu Saya Anak Malaysia relevan didengar sehingga kini.

3 Lagu: Bahtera Merdeka

Ciptaan: Kassim Masdor

Dendangan: Allahyarham Datuk Ahmad Jais

Trivia: Lagu patriotik yang cukup mendayu-dayu ini sangat popular kerana liriknya yang meruntun hati. Lagu Bahtera Merdeka ini bertambah popular apabila dinyanyikan semula oleh penyanyi wanita, Aishah.

SUDIRMAN merupakan antara artis Malaysia yang mempunyai sifat patriotik yang mendalam dalam dirinya.


4 Filem: Bukit Kepong (1981)

Arahan: Tan Sri Jins Shamsuddin.

Pelakon: Tan Sri Jins Shamsuddin, A. Rahim, Allahyarham Hussein Abu Hassan, Datuk Yusof Haslam, Dali Abdullah, Samsudin Baslah, JA Halim, Hisham Ihsan, Mohd Noor Bon dan Harun Ibrahim.

Trivia: Filem Bukit Kepong yang mengisahkan serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong digarap berdasarkan sejarah sebenar tragedi berdarah pada 23 Februari 1950. Sebahagian besar pelakon dalam filem yang menelan perbelanjaan RM1.3 juta ini terdiri daripada penduduk Bukit Kepong sendiri.

5 Filem: 1957: Hati Malaya (2007)

Arahan: Datuk Suhaimi Baba

Pelakon: Maya Karin, Rusdi Ramli, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Ida Nerina, Nanu Baharuddin, Zaefrul Nordin, Kavita Sidhu, Sharifah Amani dan Kamarulzaman Taib.

Trivia: Filem yang diterbitkan oleh produksi Pesona Pictures dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan peruntukan RM3.6 juta itu bagaimanapun hanya meraih kutipan sebanyak RM480,000 ketika ditayangkan di pawagam.

6 Filem: Leftenan Adnan (2000)

Arahan: Aziz M. Osman

Pelakon: Hairie Othman, Umie Aida, Farid Amirul, Faizal Hussein, Rusdi Ramli, Shhaharuddin Thamby, Wahid, Zul Yahya, Sherie Merlis dan Rambo Chin.

Trivia: Filem yang mengambil latar belakang Perang Dunia Kedua itu diterbitkan produksi Grand Brillance Sdn. Bhd. dan mendapat kerjasama daripada Kementerian Pertahanan. Filem yang memenangi banyak anugerah itu menelan kos sebanyak RM1.50 juta dan mula ditayangkan pada

31 Ogos 2000.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: