PETALING JAYA: Program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI) di TV3 terus menjadi pilihan dan rujukan utama golongan ibu tunggal di negara ini selepas 11 tahun disiarkan.
Menurut Penerbit Eksekutifnya, Siti Hatija Yusof, program satu jam itu berjaya meninggalkan impak dan memberikan kebaikan serta panduan kepada golongan tersebut sehingga wujud jaringan kerjasama antara kedua-dua pihak.
“Saya bangga kerana selepas 11 tahun, WHI berjaya meninggalkan impak positif kepada wanita secara amnya. Malah, program ini juga menjadi saluran utama golongan ibu tunggal di negara ini dalam berkongsi panduan dan bimbingan kepada khalayak.
“Bayangkan, selepas 11 tahun bersiaran kami sudah mempunyai jaringan hubungan dengan persatuan-persatuan ibu tunggal yang bekerjasama dalam pengisian mengenai tip dan panduan mengenai kehidupan golongan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya dan ulang tahun ke-11 program itu di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, Rabu.
Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar dan bekas-bekas pengacara WHI antaranya Nurfarahin Jamsari, Maria Tunku Sabri, Azura Karim, Ezzah Aziz Fawzy, Ruhil Shafinaz Hussin, Norish Karman dan Nadia Shahrul Annuar.
WHI disiarkan secara langsung di TV3 pada setiap Isnin hingga Jumaat selama sejam bermula pukul 12 tengah hari.
Siti Hatija berkata, faktor kesederhanaan pada aspek populariti tetapi pengisian yang berkesan menjadikan program itu kekal bertahan selama lebih sedekad.
“Kami sedar WHI tidak popular mana berbanding program-program lain tetapi impak kewujudannya terus dirasai terutama di kalangan penonton sasaran sehingga hari ini.
“Memang itu yang kami tekankan sejak awal penerbitannya iaitu pengisian dan topik yang bernas bukan populariti kosong semata-mata,” katanya.
Menurutnya, seiring dengan peredaran masa, program itu turut menampilkan perubahan dengan mengetengahkan barisan pengacara muda berbanding sebelum ini.
“Kadar tontonan WHI menunjukkan ia makin digemari penonton muda, maka kita pertaruhkan barisan pengacara muda tetapi masih mengekalkan personaliti berpengalaman seperti Azizah Ariffin.
“Kita mahu kekalkan keseimbangan itu selain menjaga pengisian dan topik yang dipaparkan di mana faktor topik dan pengacara adalah formula yang membuatkan ia terus diminati penonton,” katanya.
WHI kini turut dibarisi Fiza Sab Jahan, Nor Azzura Azizul Azman, Teh Syuhaida, Hazrena Kassim dan Irin Putri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: