SEMPENA pelancaran Honda Civic baru, Honda Malaysia telah menjemput media tempatan menguji jentera baru berkenaan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.
Sesi pandu uji memberi gambaran yang baik terhadap keseluruhan prestasi jentera dari Jepun ini dan ia mampu menutup persepsi negatif sesetengah pihak semasa pelancaran model baru ini pada bulan lalu.
Penulis berpeluang menguji empat varian Civic baru iaitu 1.8, 2.0, 2.0 Navi dan 1.5 Hibrid yang kesemuanya dilengkapi dengan butang kawalan ECON, iaitu salah satu teknologi unik taruhan Honda yang tidak terdapat pada model sekelas dengannya di pasaran tempatan.
Butang ECON berperanan melaras output enjin dan transmisi bagi mengoptimumkan penggunaan minyak secara automatik, sekali gus membantu pemandu mencapai penjimatan minyak terbaik dengan Civic generasi kesembilan ini.
Bagi mereka yang inginkan pecutan dan pemanduan agresif, butang ECON boleh dimatikan dan keupayaan enjin kembali ke tahap maksimum.
Walaupun reka bentuk luaran jentera baru ini kelihatan kurang sporty berbanding generasi kelapan, namun prestasi, keselesaan pemanduan, gajet dalaman dan penjimatan yang ditawarkan jauh mengatasi model sebelum ini.
Menggunakan sistem penyerap hentak McPherson Strut di bahagian depan dan Multi-Link di belakang telah meningkatkan keberkesanan kawalan dan keselesaan pemandu ketika mengambil selekoh.
Honda juga telah melakukan perubahan drastik pada enjin Civic 2.0 daripada jenis DOHC kepada SOHC yang lebih ringan tetapi tetap mengekalkan transmisi lima kelajuan automatik seperti generasi sebelum ini.
Penukaran enjin itu dilihat langkah ke belakang oleh pemerhati industri namun Honda telah mempertahankan tindakan tersebut dengan menjelaskan bahawa melalui kejuruteraan tinggi syarikat berkenaan, keupayaan SOHC telah ditingkatkan untuk menjana kuasa yang lebih baik.
Pada sesi pandu uji, penulis tidak dapat mengesan kelemahan SOHC baru berbanding DOHC. Jentera berkenaan boleh melepasi kelajuan 210 kilometer sejam (km/j) dengan mudah tanpa sebarang bunyi bising dari enjin berkenaan.
Ruang kabin Civic baru antara bahagian yang banyak menerima sentuhan semula oleh Honda, dengan meningkatkan kelebaran kepada 1,755 mm untuk menjadikan ruang antara bahu mencapai 75 mm, manakala panjang tempat duduk belakang ditambah 10 mm.
Ini menjadikan Civic baru menawarkan ruang kabin yang paling luas berbanding pesaingnya iaitu Toyota Corolla dan Mazda 3.
Sepanjang perjalanan juga, penulis tidak terganggu dengan bunyi bising tayar berikutan Honda telah melengkapkan kereta ini dengan pakej kalis bunyi menerusi penambahan penebat pada lantai, pintu dan juga bahagian lantai atas sistem penyerap hentak.
Ketebalan bingkai kiri dan kanan bagi cermin hadapan kereta ini juga telah dikecilkan bagi menawarkan pemandangan yang lebih luas kepada pemandu manakala brek tangan telah diubah ke posisi asalnya iaitu di tengah berbanding di sebelah gear untuk generasi kelapan.
Penulis dapat merasakan memandu Civic baru lebih menyeronokkan kerana dilengkapi pelbagai informasi yang dipaparkan antaranya perubahan warna pada skrin mengikut keberkesanan penggunaan minyak semasa memandu.
Hijau menunjukkan pemanduan ekonomi, hijau+biru adalah pemanduan sederhana dan biru menunjukkan pemanduan maksimum. Ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian pemandu sepanjang perjalanan untuk berusaha mencapai warna hijau.
Bagi model hibrid pula, Civic baru menggunakan bateri lithium-ion baru yang menawarkan 285 peratus kapasiti kuasa dan 35 peratus kepantasan caj berbanding bateri sebelum ini, selain lebih ringan dan kecil.
Walaupun menggunakan enjin berkuasa 1.5 liter, Civic Hibrid mampu mencapai kelajuan 190 kilometer sejam dengan mudah.
Secara keseluruhannya, penulis berpuas hati dengan prestasi jentera baru ini. Jika anda mementingkan imej sporty, kit badan Modulo ada ditawarkan untuk mengimbangi kelemahan reka bentuk standard model ini.
Dengan kekerapan servis telah ditingkatkan kepada setiap 10,000 kilometer, saya rasa tiada sebab untuk anda berkata tidak kepada Civic baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: