Tuesday, August 28, 2012

Menanti reaksi peminat

ARTIS di bawah naungan MIG Productions ini (dari kiri) Zul Suphian, Wawa Zainal, Diana Amir, Mon Ryanti dan Azhari Zaini.

MUSIM raya biasanya akan disambut oleh umat Islam dalam suasana yang gembira dan tenang. Namun, berlainan pula halnya dengan tiga pelakon muda yang sedang meningkat naik ketika ini iaitu Diana Amir, Mon Ryanti dan Wawa Zainal.

Tiga pelakon ini menganggap sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bukan masa untuk bergembira semata-mata. Sebaliknya, ia masa untuk berdoa agar filem berjudul Seram Sejuk dan Salam Cinta lakonan mereka yang kini sedang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara diterima ramai penonton.

Menurut Diana, Salam Cinta merupakan filem bertemakan Islamik kedua yang dilakonkannya selepas 7 Petala Cinta. Biarpun Salam Cinta lebih ringan daripada segi pengucapan dialog dan makna di sebaliknya tetapi dia tidak mahu memandang enteng filem tersebut.

"Saya memang berdebar-debar menantikan tayangan dan sambutan para penonton terhadap filem lakonan saya itu. Ini kerana, sewaktu berlakon dalam 7 Petala Cinta saya belum berhijrah dan tidak bertudung. Hanya kerana mahu menghayati watak bernama Laila itu memerlukan saya bertudung.

"Tetapi berlainan dengan Salam Cinta di mana saya telahpun bertudung dan dua minggu selepas itu maka barulah saya mula menjalani penggambaran filem ini. Selepas bertudung saya tidak lagi melakonkan adegan-adegan yang berpegang tangan dengan pelakon bukan muhrim.

"Saya mula bertudung pada September 2011 dan mulai saat itu saya berlakon bukan setakat mencari makan tetapi juga bagi memberikan mesej yang positif untuk para penonton. Sebab itu, saya berasa berdebar-debar dan berdoa agar Salam Cinta akan sampai ke hati para penonton," katanya.

Dalam pada berdebar-debar menantikan reaksi para penonton terhadap filem terbitan MIG Productions Sdn. Bhd. itu, Diana tetap akan menyambut raya dengan seadanya. Seperti biasa, dia menyambut Hari Lebaran di kampung ibunya di Teluk Kumbar, Pulau Pinang selama empat hari.

Diana yang telah pun berada di kampungnya sejak 17 Ogos lalu menyambut perayaan buat umat Islam itu dalam keadaan yang rapi. Dia antaranya telah membeli banyak keperluan termasuklah baju-baju raya sewaktu mengerjakan umrah di Mekah pada 8 Jun hingga 21 Jun lalu.

"Saya menunaikan umrah itu bersama-sama kawan-kawan iaitu Irma Hasmie, Yatt, Heliza AF dan 24 lagi anggota rombongan yang lain. Sewaktu di sana saya telah membeli 10 helai jubah. Jubah paling murah saya beli berharga RM40 dan paling mahal RM180 sepasang.

"Sewaktu ke sana saya hanya bawa dua pasang jubah sahaja. Jubah-jubah yang saya beli itu pula saya gunakan sebagai baju raya tahun ini. Insya-Allah mungkin tahun depan di rumah keluarga ayah pula di Batu Pahat, Johor," ujar anak keempat daripada tujuh beradik ini.

Mencabar keupayaan

Mon Ryanti yang turut berlakon dalam Salam Cinta dapat merasai debaran yang lebih kencang berbanding Diana. Ini kerana, filem itu merupakan dalam genre Islamik pertama yang dilakonkannya. Watak Nadia yang dilakonkannya juga turut mencabar keupayaan bakatnya.

"Salam Cinta adalah filem kelima lakonan saya selepas filem Hanya Aku Cinta Kau Seorang. Saya berdebar-debar menantikan reaksi para penonton atas lakonan watak Nadia dalam filem terbaru saya ini. Saya takut juga kalau para penonton meluat menonton lakonan saya itu.

"Ini kerana, watak Nadia yang merupakan seorang supermodel digambarkan bersikap angkuh di mana kalau penghayatan watak itu sampai, saya rasa para penonton akan membenci saya sehingga ke luar panggung wayang. Harap-harap jangan sampai ke tahap itulah," pintanya.

Bersederhana

Bercerita tentang sambutan hari raya kali ini, pelakon berusia 24 tahun ini telah pulang ke rumah ibu bapanya di Tampoi, Johor pada 18 Ogos lalu. Biarpun rezekinya dalam bidang lakonan datang mencurah-curah sejak kebelakangan ini tetapi dia tetap bersederhana sewaktu raya ini.

Namun, itu tidak menghalangnya untuk mengadakan majlis rumah terbuka bagi memberi peluang lebih ramai peminat, saudara mara dan sahabat handai berkunjung ke rumahnya kelak. Anak kacukan Hokkien dan Melayu itu lebih senang menyediakan sendiri hidangan untuk tetamunya.

"Tahun ini majlis rumah terbuka saya lebih sederhana. Tahun lalu kami menyediakan tiga khemah untuk menampung para tetamu tetapi kali ini ala kadar sahaja. Apa yang penting hidangan tradisi Johor seperti laksa Johor dan lontong antara menu utama selain redang dan lemang.

"Selain para peminat dan kawan-kawan saya, bapa saya Muhammad Sahudina Abdullah yang berketurunan Cina dan bekas tentera yang telah pencen mempunyai ramai kawan turut menjemput ramai jemputan pada majlis itu," kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Sementara itu, Wawa Zainal paling merasakan debaran paling kencang berbanding Diana dan Mon memandangkan Seram Sejuk merupakan filem pertama lakonannya yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Jelas Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, Seram Sejuk bukan setakat filem pertama lakonannya di layar perak. Malah, menerusi filem arahan Azhari Zain dalam genre komedi seram itu dia melakonkan beberapa adegan yang cukup malu untuk dilakonkannya.

"Dalam filem itu, saya melakonkan watak Rose. Saya antaranya melakonkan watak itu yang terkencing dalam seluar kerana terlalu takut. Saya memang malu untuk melakonkan adegan itu, apatah lagi apabila menerima reaksi daripada para penonton yang menontonnya kelak.

"Sewaktu penggambaran filem ini yang dijalankan di Taman Medan dan Hulu Yam, Selangor itu watak Rose digambarkan sebagai seorang yang gedik. Saya risau juga takut nanti para penonton sudah mula meluat dengan saya biarpun ini adalah filem pertama lakonan saya," ungkapnya.

Bagi melupakan seketika rasa kebimbangannya terhadap sambutan para penonton terhadap Seram Sejuk, pelakon berusia 20 tahun ini melupakannya seketika setelah pulang beraya di samping sanak keluarganya di Lahad Datu, Sabah selama kira-kira seminggu lamanya.

Anak kelapan daripada 11 adik beradik ini mengharapkan debarannya menantikan tayangan Seram Sejuk akan bertukar keceriaan sehingga menyebabkan para penonton yang bakal menontonnya ketawa terbahak-bahak kelak. Itulah harapan anak Melayu Brunei ini untuk filem tersebut.

Ini kerana, selepas itu dua lagi filem lakonan Wawa yang berjudul Budak Pailang yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 1 September ini, manakala sebuah lagi filem lakonannya bertajuk Ahji Noh Motor pula bakal ditayangkan pada 27 September ini.

"Saya anggap kemunculan di layar perak masih baru. Sebelum ini saya cuma sempat berlakon dalam drama televisyen berjudul Klik. Tidak sangka pula rezeki saya dalam filem lebih banyak walaupun ini adalah filem pertama yang memberi peluang pada saya melakonkan watak utama," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: