ABBY dan Brittany mampu bekerjasama memainkan tugas masing-masing memandu kereta seperti orang biasa.
GAMBAR promosi menjelang permulaan siri realiti bagi memaparkan perjalanan hidup seharian mereka sebagai pasangan kembar siam.
LOS ANGELES: Pasangan kembar siam Abby dan Brittany Hansel meraikan ulang tahun kelahiran mereka ke-22 dalam episod pembukaan siri realiti televisyen mereka di Amerika Syarikat, lapor media semalam.
Siri itu - berjudul Abby And Brittany - memaparkan mereka memakai cermin mata berhias bagi meraikan hari bersejarah itu.
Berasal dari Minnesota, siri itu akan menayangkan detik Abby dan Brittany menamatkan pengajian di universiti, mencari pekerjaan dan mengembara ke Eropah bersama kenalan dalam siri terbaru mereka.
Dalam gambar promosi untuk siri itu, Abby dan Brittany digambarkan bersedia memulakan hidup normal, bergaya di depan kamera dalam kotak telefon awam tradisional di London, berehat bersama rakan di bawah sinar matahari dan memandu kereta.
Mengenai pengalaman memandu, Brittany berkata, tugas menekan pedal minyak dan menukar gear dilakukan Abby.
“Saya mengawal suis lampu isyarat dan lampu,” katanya.
Brittany juga mengakui Abby memandu lebih laju daripadanya.
Sebelum ini, pasangan kembar siam terbabit membintangi sebuah dokumentari berjudul Joined For Life, serta sebuah program susulan, Abby And Brittany Turn 16.
Bintang siri realiti yang bakal melakar nama itu mula menjadi perhatian apabila mereka muncul dalam siri The Oprah Winfrey Show.
Brittany dan Abby juga pernah muncul sebagai penghias muka depan majalah Life pada 1996.
Ketika itu, mereka baru berusia enam tahun.
Mereka berkongsi hampir semua organ pada bahagian di bawah pusat, namun memiliki dua jantung dengan sistem pengedaran darah dikongsi bersama.
Mereka juga memiliki empat paru-paru dan dua perut.
Walaupun dilahirkan dengan tiga tangan, satu daripadanya dibuang melalui pembedahan.
Abby mengawal badan sebelah kanan, manakala tubuh kiri dikawal Brittany.
Ketika tidak ramai pasangan kembar siam seperti mereka hidup sehingga dewasa, Abby dan Brittany kini sihat tanpa sebarang masalah jantung atau kegagalan organ.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: