Pemain boling tenpin handalan kebangsaan Noor Afizal Azizan
Pemain boling tenpin handalan kebangsaan Noor Afizal Azizan.

KUALA LUMPUR- Keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebaskan pemain boling tenpin handalan Noor Afizal Azizan dengan perintah berkelakuan baik dan ikat jamin kerana merogol gadis bawah umur perlu dihormati dan kemuliaan mahkamah perlu dipelihara dan disanjungi.

Menegaskan demikian, Setiausaha agung Majlis Kebangsaan Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk M.Ramalingam berkata hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah bersusah payah menjelaskan rasional di sebalik keputusan mereka terhadap "pesalah terhadap kanak-kanak buat pertama kalinya itu".

Noor Afizal diperintah berkelakuan baik selama lima tahun dan ikat jamin RM25,000 kerana kesalahan berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata: "Tidak timbul soal hakim-hakim kita menyalahgunakan peluang yang dibentangkan pada semakan kehakiman demi kepentingan masyarakat sivil.

"Ía menuntut kebijaksanaan dan pengetahuan serta perpaduan hakim untuk mencapai keputusan yang dapat diterima secara sah dengan kepentingan awam dilindungi dengan betul," kata beliau.

Pada 8 Ogos, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Noor Afizal supaya dikekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 5 Julai tahun lepas yang memerintahkannya berkelakuan baik selama lima tahun dengan ikan jamin RM25,000.

Mahkamah tersebut mengambil kira beberapa faktor termasuk kewujudan hubungan seks atas persetujuan bersama antara tertuduh dengan gadis berkenaan.

Noor Afizal, 21, mengaku bersalah melakukan kesalahan itu ke atas gadis berusia 13-tahun di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka antara 12.30 pagi dan 5 pagi 5 Jun, 2009.

Namun berikutan rayuan pihak pendakwa, Mahkamah Tinggi Melaka pada 20 Sept tahun lepas menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Noor Afizal.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Md Sharif dalam membenarkan rayuan pihak pendakwa untuk hukuman lebih berat, sebulat suara mengetepikan hukuman penjara lima tahun ke atas Noor Afizal oleh Mahkamah Tinggi itu.

Pemain boling tenpin itu pernah mewakili Negeri Sembilan antara 2004-2010 dan serentak itu, mewakili Malaysia dalam Kategori Belia Kebangsaan selama lima tahun (2004-2008).

Noor Afizal juga pernah beraksi di Kejohanan Terbuka Thailand International pada April tahun ini, dan dijangka mewakili Kedah dalam beberapa pertandingan yang bekal menjelang termasuk Kejohanan Terbuka Antarabangsa KL 2012.