Sheila Amzah
Sheila Amzah

Atas desakan peminat, pelantun Patah Seribu ini kembali mengaktifkan semula akuan Twitternya.

Akui timbul rasa bersalah di atas keputusannya yang menutup laman sosial itu sejak seminggu lalu, Shila Amzah, akhirnya akur dengan kehendak peminat yang mahukannya kembali ke alam maya.

"Saya sebenarnya sibuk sangat sejak kebelakangan ini dan saya tak sempat untuk melayan peminat di Twitter.

"Tetapi banyak pula respons diterima sehingga saya rasa bersalah dengan peminat. Ada yang suka ada juga yang tak suka. Apa pun, demi peminat saya kembali mengaktifkan Twitter," katanya.

Bagaimanapun, anak dara ND Lala ini tidak menafikan cemuhan diterima berikutan penampilannya yang tidak bertudung dalam program raya menjadi antara punca dia menutup akaun Twitternya.

"Saya terima banyak teguran dan kritikan akibat penyiaran itu. Mungkin mereka tidak tahu rakaman itu dilakukan sebelum saya bertudung. Ramai yang menyalahkan saya dan menuduh saya bertudung itu hanya sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'. Malah ada yang menganggap saya mempersendakan hijab.

"Sejujurnya saya kecewa dan tertekan dengan apa yang berlaku. Namun saya tidak menyalahkan stesen televisyen dalam situasi ini. Walaupun saya cuba menyepikan diri seketika, namun saya sedar masih ada peminat yang menyokong saya dari belakang," kata kekasih Shanaarz Ahmad ini.


Ke Shanghai

Walaupun dihantui pelbagai kontroversi, namun Shila tetap menjaga karier nyanyiannya.

Bakal menggegarkan kota Shanghai dengan penyertaan dalam pertandingan Asian Wave, Shila berharap membawa nama negara ke persada dunia.

Bukan calang-calang pertandingan, Asian Wave akan menyaksikan wakil dari setiap negara hebat seperti Jepun dan Korea untuk berentap meraih gelaran juara.

"Pada 31 Ogos ini saya akan berangkat ke sana selama seminggu. Jika saya berjaya melepasi peringkat saringan, saya akan berentap sekali lagi pada 18 September nanti.

"Saya sangat berbangga kerana dapat mewakili Malaysia dalam pertandingan besar ini. Sebelum ini, memang saya berhasrat untuk berkunjung ke Shanghai.

"Saya teringin nak lihat masjid tertua di dunia yang terletak di sana," katanya.